54 maut akibat minum arak beracun di Peru 

PIHAK kementerian berkata, ia telah menyenaraikan 117 kes keracuan metanol sejak pertengahan September. (Gambar Hiasan).

LIMA: Sekurang-kurangnya 54 orang maut di Peru pada bulan lepas selepas meminum minuman di dalam botol yang mengandungi metanol, sejenis bahan alkohol beracun, kata kementerian kesihatan di negara Amerika Selatan itu kelmarin.

Pihak kementerian berkata, ia telah menyenaraikan 117 kes keracuan metanol sejak pertengahan September.

Daripada jumlah itu, 54 orang telah meninggal dunia.

“Ia merupakan jumlah paling tinggi (keracunan metanol) sejak beberapa tahun ini,” kata ketua Pusat Nasional untuk Epidemiologi dalam kementerian, Eduardo Ortega.

Pada Ahad, pihak kementerian telah menggesa orang awam agar tidak meminum minuman yang berperisa vodka/buah markisa dan ‘pina colada’ yang dijual di dalam botol plastik dua liter di bawah nama ‘Punto D Oro’ selepas beberapa ujian mendedahkan ia mengan-dungi metanol, sejenis bahan dalam cecair pencuci cermin kereta dan antibeku.

Ia memberi amaran bahawa minuman tersebut mempunyai kesan yang serius terhadap kesihatan orang yang meminumnya.

Ini muncul selepas beberapa kes keracunan dilaporkan di hospital di dalam dan sekitar ibu negeri Lima.

Menurut laman sesawang Methanol Institute, sebuah perdagangan global, beberapa syarikat atau individu tidak beretika kadangkala sengaja menambahkan metanol dalam minuman beralkohol sebagai satu alternatif yang lebih murah daripada etanol yang selamat dan boleh diambil.

Keracunan turut berlaku melalui cara pembuatan yang tidak betul untuk alkohol buatan sendiri, jelasnya.

Simptom bagi keracunan metanol termasuk sakit perut, mual, muntah-muntah, masalah pernafasan, buta, penglihatan kabur, sawan dan koma.

Menurut institusi tersebut, meminum walau sedikit sebanyak 25 mililiter (0.8 auns) boleh membawa maut. — AFP

 

 

scroll to top