ATAMI: Pasukan penyelamat bergerak melalui serpihan berlumpur di sebuah pekan percutian Jepun yang dilanda tanah runtuh semalam bagi mencari mangsa yang masih hidup dan dikhuatiri ramai yang mungkin hilang.
Anggota tentera dan pekerja kecemasan menggunakan tongkat tangan dan penggali mekanikal dalam pencarian mendesak itu, dua hari selepas runtuhan tanah menimpa tepi gunung dan melalui bahagian pusat peranginan kolam air panas Atami di tengah Jepun.
Tiga orang disahkan meninggal dunia, walaupun pihak berkuasa sedang berusaha untuk mengesan di mana beberapa orang penduduk ketika mereka memeriksa 139 buah rumah tepi bukit dan bangunan lain yang telah musnah.
Kenderaan telah tertimbus dan bangunan tumbang daripada asasnya dalam bencana tersebut dengan sebuah unit pendingin hawa dilihat tergantung dari sebuah rumah yang musnah menuju ke lumpur lembik di bawah.
“Kami telah mengesahkan bahawa 102 orang selamat dan kami masih lagi memeriksa keselamatan 113 orang daripada 215 penduduk yang dipercayai telah berada di sekitar kawasan yang dilanda tanah runtuh,” pegawai pekan berkenaan Yuki Sugiyama memberitahu AFP.
Pihak berkuasa pada mulanya menyatakan hanya 20 orang hilang, namun datuk bandar Atami Sakae Saito menyatakan pada petang Ahad bahawa ia hanya satu anggaran berdasarkan kepada penilaian awal.
Perdana Menteri Yoshihide Suga mengesahkan semalam pihak berkuasa masih belum menentukan berapa ramai orang yang tidak diketahui keadaannya, ketika pencarian masih tertumpu kepada mangsa yang masih hidup.
“Kerajaan pusat, bersama dengan kerajaan perbandaran akan mengesahkan berapa ramai yang telah hilang,” kata Suga.
“Pekerja penyelamat sedang melakukan sebaik mungkin untuk menyelamatkan seramai mungkin, dengan secepat mungkin”, tambah beliau.
Tanah runtuh berlaku ketika musim hujan tahunan di Jepun dan hujan lebat selama beberapa hari di sekitar Atami.
Semalam anggota penyelamat mengambil kesempatan ketika hujan reda untuk meneruskan pencarian mereka, bergerak melalui aliran air berlumpur dan memindahkan kayu serta serpihan lain dari kawasan tersebut.
Arahan pemindahan bukan wajib telah dikeluarkan terhadap lebih 35,700 orang di sekitar Jepun, kebanyakan di wilayah Shizuoka termasuk Atami, yang terletak kira-kira 90 kilometer di barat daya Tokyo.
Agensi kaji cuaca meramalkan hujan lebat di wilayah yang lebih luas, memberikan amaran bahawa lebih banyak kejadian tanah runtuh mungkin berlaku.
Atami merekodkan jumlah hujan yang banyak dalam masa 48 jam berbanding yang ia biasanya alami sepanjang Julai, dan mangsa terselamat memberitahu media tempatan bahawa mereka tidak pernah mengalami hujan selebat itu sepanjang hidup mereka.
Para saintis menyatakan perubahan iklim telah menjadikan musim hujan di Jepun lebih lebat kerana atmosfera yang lebih panas mengumpulkan lebih banyak air.
Mangsa terselamat di sebuah pusat pemindahan berhampiran memberitahu AFP pada Ahad lepas mengenai rasa panik mereka ketika tanah runtuh bermula.
“Ketika saya membuka pintu, semua orang sedang berlari ke arah jalan raya dan seorang anggota polis menghampiri saya serta menyatakan: “Apa yang kamu lakukan di sini, kamu perlu cepat, semua orang telah berpindah!’” penduduk tempatan Kazuyo Yamada memberitahu AFP.
“Maka saya segera keluar dalam hujan, tanpa menukar pakaian, dengan hanya membawa sebuah beg.” — AFP