Mahkamah Rusia haramkan Facebook, Instagram sebagai organisasi pelampau

MOSCOW: Mahkamah Rusia kelmarin mengharamkan Facebook dan Instagram sebagai organisasi pelampau, selepas pihak berkuasa menuduh gergasi teknologi Amerika Syarikat itu, Meta bertolak ansur dengan “Russofobia” semasa konflik di Ukraine.

Mahkamah daerah Tverskoi berkata ia telah bersetuju dengan permintaan pendakwa raya agar kedua-dua platform media sosial itu diharamkan kerana “menjalankan aktiviti pelampau”, tetapi perkhidmatan pesanan Meta, WhatsApp tidak akan diharamkam memandangkan ia bukan platform awam.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha keras oleh Moscow untuk menyekat media sosial di ambang tindakan ketenteraannya ke atas Ukraine yang pro-Barat.

Semasa perbicaraan kelmarin, perkhidmatan keselamatan FSB Rusia menuduh Meta bekerja menentang kepentingan Moscow dalam konflik ini.

“Aktiviti organisasi Meta berhaluan menentang Rusia dan angkatan bersenjatanya,” kata wakil FSB, Igor Kovalevsky kepada mahkamah, menurut laporan agensi berita Rusia.

“Kami sudah meminta (mahkamah) untuk mengharamkan aktiviti Meta dan mewajibkannya untuk melaksanakan keputusan ini dengan serta-merta,” katanya.

Selepas Presiden Vladimir Putin mengerahkan tentera ke Ukraine pada 24 Februari, pihak berkuasa menyekat akses Rusia ke Facebook dan Instagram, serta Twitter.

Pada 10 Mac, Meta telah mengumumkan platform tersebut akan membenarkan kenyataan seperti “kematian kepada penceroboh Rusia” tetapi bukan ancaman terhadap orang awam.

Tetapi dalam langkah kawalan, presiden hal ehwal global Meta, Nick Clegg, kemudian mengatakan peraturan akan dilonggarkan kepada pengguna dari dalam Ukraine. — AFP

scroll to top