Pengeboman Masjid Afghanistan: Pemimpin Dunia Islam Harus Segera Bertindak

KUALA LUMPUR: Dengan bumi Afghanistan sekali lagi berduka dengan kejadian pengeboman berani mati yang berlaku di masjid untuk kali ketiga pada Oktober, pemimpin dunia Islam harus segera bersuara dan bertindak bagi mengelak kejadian yang sama daripada terus berulang.

Menurut kenyataan yang memetik Ketua Pegawai Operasi Global Peace Mission (GPM) Malaysia di Kabul, Syahrir Azfar Saleh, corak serangan yang sama berlaku sekali lagi semalam (Jumaat), di Kandahar dengan jumlah yang terkorban lebih 23 orang.

Kejadian pertama berlaku pada 3 Oktober 2021 di Masjid Eid Gah, Kabul membunuh sekurang-kurangnya lima orang. Selang lima hari berikutnya, pengeboman berani mati dilakukan di sebuah masjid di Kunduz ketika masyarakat Afghanistan sedang menunaikan solat Jumaat yang membunuh lebih 80 orang.

GPM di dalam kenyataan kekesalan berkenaan pengeboman yang berlaku pada minggu lepas di Kunduz telah melahirkan gesaan agar semua pihak yang bertelagah untuk menyelesaikannya di meja rundingan dan tidak melibatkan keselamatan dan nyawa orang awam.

Namun begitu, kejadian yang masih berlaku selang seminggu dengan modus operandi yang sama ini benar-benar memerlukan tindakan daripada pemimpin negara-negara Islam untuk membantu Afghanistan meredakan tekanan yang sengaja dibuat oleh pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam keadaan Afghanistan yang masih belum stabil.

Rakyat Afghanistan pastinya telah terlalu letih dengan pergolakan demi pergolakan yang berlaku dan perlu diberi ruang untuk kembali bernafas dalam suasana yang aman dan tenang.

Lakukanlah sesuatu sebelum keadaan menjadi lebih teruk dan akhirnya kita terpaksa melihat kancah peperangan yang tiada berkesudahan di bumi Afghanistan, kata kenyataan itu.

scroll to top