Penunjuk Perasaan Bertempur Dengan Polis Buat Kali Keempat Minggu Ini

BANGKOK: Penunjuk perasaan yang menaiki kereta dan motosikal kembali memenuhi jalan-jalan raya di Bangkok buat kali keempat minggu ini dan sekali lagi protes itu berakhir dengan pertempuran dengan anggota polis.

Pada awalnya penunjuk perasaan yang berkumpul di Monumen Demokrasi dan Persimpangan Ratchaprasong melalui jalan-jalan di Bangkok secara aman seperti yang diminta pihak penganjur.

Bagaimanapun, kumpulan penunjuk perasaan lain yang berada di persimpangan Din Daeng, berdekatan dengan kediaman Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mula bertindak ganas.

Sebelum ini pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis telah tercetus di pesimpangan itu iaitu pada Selasa, Rabu dan Jumaat.

Penunjuk perasaan mula melemparkan mercun dan mercun bola di sekatan jalan raya menuju ke kediaman Prayuth, di Jalan Vibhavadi Rangsit.

Polis kemudian bertindak melepaskan gas pemedih mata, meriam air dan peluru getah.

Pihak penganjur protes itu, Nattawut Saikuar meminta penunjuk perasaan bersurai namun tidak diendahkan.

Sehingga 8 malam (waktu tempatan) pada Ahad, pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis masih berterusan.

Protes kali ini diketuai aktivis Nattawut dan Sombat Boonngam-anong serta kumpulan Tha Lu Fah.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 21,882 kes baharu COVID-19 dan 209 kematian. Jumlah kes terkumpul kini mencecah 907,157 dan 7,552 kematian.

Mangsa yang meninggal dunia kali ini membabitkan 117 lelaki dan 92 wanita berusia antara 19 hingga 95 tahun, termasuk enam warga asing.

Bangkok kekal mencatatkan jumlah kes baharu tertinggi iaitu 4,215 dan 83 kematian.-Oleh Linda Khoo Hui Li/Bernama.

scroll to top