Tatkala Rakyat Menunggu Bantuan, Thailand Terus Dihambat Kes Harian Tertinggi

BANGKOK: Di tengah-tengah kebimbangan mengenai laporan mengenai pesakit COVID-19 meninggal dunia di jalan dan di rumah sementara menunggu bantuan tiba, Thailand hari ini mencatat lonjakan harian terbesar untuk hari ketiga berturut-turut dengan 14,575 kes baharu.

Jumlah jangkitan di negara ini kini mencecah 467,707, dan dalam tempoh 24 jam, 114 kematian dilaporkan dengan korban keseluruhan ialah 3,811.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata kes baharu melibatkan 14,562 jangkitan tempatan dan 13 kes import. Jangkitan tempatan termasuk 1,072 banduan.

“Sehingga kini, 143,744 pesakit masih dirawat di hospital, termasuk 3,984 dalam keadaan kritikal dan 900 menggunakan alat bantuan pernafasan,” katanya semasa taklimat harian COVID-19 di sini.

Dr Apisamai berkata kematian baharu itu melibatkan 61 lelaki dan 53 wanita berusia antara 14 dan 94 tahun, dan 111 daripadanya adalah warga Thailand, masing-masing seorang warga Kemboja, Myanmar dan Pakistan.

“Korban termuda adalah remaja berusia 14 tahun dengan epilepsi,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha menyuarakan kebimbangannya terhadap laporan pesakit COVID-19 yang meninggal dunia di jalan dan di rumah ketika menunggu rawatan.

Beliau telah mengarahkan semua agensi berkaitan mencari jalan untuk memastikan pesakit boleh dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Keadaan seperti itu tidak boleh berulang lagi. Ini adalah tanggungjawab semua agensi, bukan hanya Kementerian Kesihatan Awam semat-mata. Agensi lain yang terlibat mesti bersama membantu mencari jalan untuk membawa pesakit ke hospital,” katanya seperti dipetik Bangkok Post.

Media tempatan melaporkan tiga mayat dibiarkan terbaring di jalan raya di Bangkok selama hampir 12 jam sebelum dibawa oleh pihak berkuasa dan kumpulan amal pada Selasa malam. Ujian menunjukkan satu daripada mayat tersebut disahkan positif COVID-19.

Sementara itu, Dr Apisamai berkata terdapat 1,811 pesakit COVID-19, sama ada tanpa gejala atau bergejala ringan menjalani kuarantin di rumah untuk mengurangkan masalah katil tidak mencukupi di hospital dan hospital medan.

“Pihak Berkuasa Bangkok Metropolitan (BMA) akan mempercepat untuk mengesan pesakit COVID-19 bagi mendapatkan rawatan untuk mengurangkan jangkitan,” katanya.

Bermula hari ini, semua taman awam, tempat sukan, spa dan pusat urut, salon rambut dan kedai gunting rambut, perpustakaan, muzium, pusat pembelajaran, pusat pameran perdagangan, pusat konvensyen, dan dewan pameran akan ditutup selama dua minggu hingga 2 Ogos di Bangkok dan 12 wilayah di bawah zon merah gelap.

Awal minggu ini, semua pusat beli-belah dan kedai ditutup kecuali pasar raya, kedai serbaneka dan farmasi.

Di Bangkok dan wilayah jirannya, pemerintah telah mengenakan sekatan ketat termasuk perintah berkurung dari 9 malam hingga 4 pagi dan melarang perhimpunan melebihi lima orang.- Oleh By Linda Khoo Hui Li/Bernama.

scroll to top