Jimmy Palikat Muncul Dengan Lagu Baharu ‘Saya Mau Jadi Hero’

SAYA MAU JADI HERO: Jimmy Palikat sebelum ini popular dengan lagu Anak Kampung.

SELEPAS kejayaan hebat populariti seluruh negara lagu Anak Kampung pada 2011 dan kemudiannya lagu Auss tahun lepas, Jimmy Palikat kini kembali ke persada seni suara tanahair dengan lagu baharu yang berjudul ‘Saya Mau Jadi Hero’.

Jimmy yang turut terlibat sebentar dalam dunia politik Sabah kini kembali dengan tekad untuk mewarnai lagi dan memeriahkan dunia seni lagu Sabah dan negara dengan sebuah lagi lagu rancak dan menarik.

ORKESTRA: Orkestra ASTiF, UMS yang dipimpin sendiri oleh konduktornya Roslee Haji Wahid.

Lagu catchy yang berentak sumazau ini yang turut juga dihasilkan dalam rentak Pop Rock, dicipta sepenuhnya oleh komposer dan penulis lirik yang tidak asing lagi iaitu Rafiqa Roslee (Roslee Haji Wahid).

Roslee yang biasanya sebelum ini hanya mencipta karya muziknya kepada seorang penyanyi tetap sahaja kini mengorak langkah baharu dan lebih agresif dengan mula mencipta lagu-lagu baharu untuk artis-artis Sabah yang lain juga.

Sebaik saja selesai proses rakaman pada pertengahan tahun ini, lagu ‘Saya Mau Jadi Hero’ ini disimpan sementara bagi menunggu masa dan ketika yang sesuai untuk dilancarkan dan akhirnya 23 Oktober 2021 menjadi tarikh keramat kerana lagu ini bakal dipersembahkan buat julungkalinya di Konsert ROK (Rhythm of Kinabalu) anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Sabah.

JKKN Sabah yang bertindak cemerlang serta proaktif dengan mengusahakan dan menganjurkan konsert live virtual nanti turut menampilkan artis-artis terkenal Sabah seperti Francis Landong, Dyana dan Fauziah Gambus serta penampilan istimewa Orkestra ASTiF, UMS yang dipimpin sendiri oleh konduktornya Roslee Haji Wahid.

Roslee yang juga pensyarah seni muzik di Program Muzik, UMS menyatakan bahawa beliau dan Jimmy berasa sangat bertuah dan bersyukur apabila lagu ‘Saya Mau Jadi Hero’ ini dipilih untuk menjadi salah-satu lagu Sabah style yang bakal dipersembahkan dalam bentuk gubahan baharu bersama orkestra.

KONDUKTOR: Aksi konduktor (Roslee) bersama Orkestra ASTiF.

Konsert yang bakal dipersembahan kansecara ‘live’ melalui FB JKKN TV juga bakal menampilkan lagu-lagu pelbagai suku kaum dan alat muzik etnik Sabah.

Peminat seni lagu Sabah dijangka bakal mendapat satu hasil karya seni yang terbaik dan menarik dengan adanya gabungan dua nama besar dalam industri seni muzik Sabah iaitu Jimmy Palikat dan Roslee Haji Wahid.

Semoga kejayaan Anak Kampung yang masih ‘panas’ hingga kini bakal juga dirasai oleh lagu baharu ‘Saya Mau Jadi Hero’ ini juga.

#Saya Mau Jadi Hero (Jimmy Palikat)

Saya mau jadi hero, itu yang saya tahu
Saya mau jadi hero, untuk beliau saya
Saya mau jadi hero, untuk anak-anak saya
Tidak mau jadi “zero”

Saya mau jadi hero, itu yang saya tahu,
Saya mau jadi hero, untuk mama kesayangan
Tidak mau jadi “zero” ,tidak mau ampai-ampai saja
Saya mau jadi hero

Anak ayam turun sepuluh, mati seekor tinggallah sembilan,
Tuntut ilmu bersungguh sungguh,
Supaya maju, tidak ketinggalan

Si gaman pergi memburu, mencari si payau, bukit didaki,
Senang kerja kalau berilmu, syok hidup kalau kita berbudi

Saya sendiri-sendiri ini, kan saya kuat, semua saya hadapi
Saya mau jadi hero

Seni lagu & lirik: Rafiqa Roslee (Roslee Haji Wahid)
Nyanyian: Jimmy Palikat
Jurutera rakaman dan mixing: Andrew “Apai” Poninting
Susunan muzik: Roslee Haji Wahid & Andrew “Apai” Poninting
Suling: Rommey Ramli
Guitar: Herris Yupui
Suara Latar: Kristie Samunting dan Andrew “Apai” Poninting
Studio Rakaman: Apai Production

scroll to top