Mesyuarat Agung FDAM Tetap Hangat

MESYUARAT…Mesyuarat Agung FDAM bincang pelbagai isu hangat.

HULU KELANG: Walaupun tiada pemilihan jawatan, Mesyuarat Agung Tahunan Ke-24 Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) di Pawagam Mini P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di sini tetap panas apabila usul menghentikan campur tangan stesen televisyen (TV) dalam pemilihan pengarah dan menghidupkan semula program Padu Citra dibahaskan dan diterima sebulat suara oleh ahli.

Presiden FDAM, Dr. Ahmad Ibrahim berkata Majlis Kerja persatuan itu akan merangka resolusi agar kedua-dua isu itu dapat dibawa kepada pihak berkenaan.

“Isu campur tangan stesen ke atas penerbitan drama bersiri dan cereka TV bukan isu baharu tetapi berlarutan sejak dua dekad lalu. Namun tiada siapa berani menentang kerana bimbang akan hilang peluang mendapatkan slot program.

“Sesetengah stesen sudah berani melebihi kuasa pengarah sehingga penerbit pun tidak mampu menentang. Apa yang dilakukan oleh sesetengah stesen sudah melampau. Mereka sanggup memaksa penerbit menukar pengarah jika kehendak stesen seperti pemilihan pelakon utama tidak dipersetujui oleh pengarah,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.

Ahmad berkata stesen terbabit bertindak demikian kerana terlalu menurut kehendak pengiklan dan penaja yang hanya mementingkan jualan tanpa memikirkan soal mutu sesuatu penerbitan.

Katanya, FDAM memandang berat isu berkenaan kerana campur tangan yang berlebihan akan juga menjejaskan imej pengarah yang merupakan tonggak sesebuah penerbitan.

Mengulas lanjut, Ahmad yang popular dengan panggilan Mat London berkata FDAM akan menghantar resolusi kepada stesen terbabit bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Katanya FDAM yang menaungi lebih 1,500 ahli akan memastikan hubungan mesra antara persatuan itu dengan stesen dan penerbit sentiasa dipupuk demi kemajuan industri kreatif negara.

Mengenai Padu Citra yang ditamatkan pada 1 Feb lepas dan diganti dengan Program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCap), Ahmad berkata FDAM akan mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Ketua Pegawai Eksekutif FINAS dalam masa terdekat bagi memohon pertimbangan FINAS agar menghidupkan kembali Padu Citra bagi memastikan penerbitan flem dan program TV dapat dikawal selia dengan lebih berkesan.

“Program Padu Citra yang ditunjangi FDAM, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia dan Persatuan Seniman Malaysia ditamatkan oleh pengurusan terdahulu FINAS tanpa sebarang perbincangan dengan kami.

“Kami berharap FINAS akan menghidupkan kembali program itu bagi memastikan penerbitan filem dan program TV diserahkan kepada karyawan yang berkelayakan dan berkemahiran daripada tiga persatuan utama yang menaungi pengarah, kru dan pelakon,” katanya.

scroll to top