PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) digesa agar menangguhkan Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) kepada masa dan keadaan yang lebih sesuai ke tahun hadapan.
Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Pansha berkata sebagai pihak yang berkepentingan dalam pembangunan industri perfileman tempatan dan mewakili industri perfileman tempatan memohon agar FFM31 ditangguhkan.
Katanya, selepas mengambil pandangan dan pendapat dari kalangan ahli PFM, penerbit filem tempatan dan penggiat seni, Ahli Jawatankuasa PFM memohon agar FFM31 diadakan pada masa dan keadaan yang lebih sesuai.
Keperitan akibat impak Covid-19 dan kesusahan dalam mencari pendapatan sara hidup penggiat seni menyebabkan FFM31 disambut hambar oleh majoriti penggiat seni.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang diperolehi Sabah360online, kelmarin.
Menurutnya, tarikh untuk mengadakan festival itu perlu diperbincangkan secara terperinci bersama industri demi kebaikan bersama.
Bukan sahaja untuk glamour, festival ilmiah ini juga akan memberi objektif keperluan semasa yang dapat dirasakan oleh industri.
Lagi-lagi sehingga kini keperluan utama untuk menjalankan aktiviti penggambaran masih belum dapat dilaksanakan.
“Sudah tentunya proses pembangunan filem melalui kerja berpasukan, bayangkan bagaimana kita ingin meraikan segelintir yang berjaya dalam majoriti penggiat seni menghadapi keperitan untuk sara hidup,” katanya.
Negara lain yang melaksanakan festival filem mereka adalah jauh berbeza dengan keadaan semasa yang berlaku di Malaysia.
Katanya, PFM amat memahami FINAS bukan badan agensi kebajikan rakyat dan tertakluk kepada Akta 244.
Dalam kesinambungan usaha dan fokus Kerajaan Malaysia “Prihatin Rakyat: Darurat Memerangi Covid19” adalah lebih wajar peruntukan FFM31 sama ada besar atau kecil yang disediakan oleh Kerajaan ini dapat dimanfaatkan dengan menyegerakan dan menambahlagi program yang dapat membantu penggiat seni secara keseluruhan seperti mengambil vaksin dan lain-lain.
Keutamaan adalah meningkatkan semula ekonomi bagi keseluruhan penggiat seni tanpa mengira bangsa, agama dan kefahaman politik, dapat bekerja seperti biasa dan tidak hanya bergantung kepada subsidi Kerajaan.
PFM juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang sentiasa perihatin dan banyak membantu dalam pembangunan Industri Perfileman Tempatan.
Menyingkap sejarah, Festival Filem Malaysia (FFM) mula diadakan bermula tahun 1980 dan dianjurkan bersama industri melalui Jawatankuasa Induk FFM yang ditubuhkan terdiri dari wakil Persatuan Perfileman Tempatan seperti PFM, FDAM, SENIMAN, PROFIMA dan lain-lain.