Semua Kereta Saya Ditenggelami Air – Zainal Abidin

TERLIBAT BANJIR ... Zainal Abidin antara selebriti yang berdepan insiden cemas ketika bencana banjir melanda Shah Alam baru-baru ini.

PETALING JAYA: Penyanyi terkenal tanah air, Datuk Zainal Abidin antara selebriti yang tidak terkecuali menjadi mangsa banjir selepas kediamannya di Shah Alam, Selangor turut dinaiki air dalam kejadian itu.

Menerusi entri Instagram, penyanyi lagu popular Hijau itu memuat naik satu hantaran video untuk berkongsi perkara berkenaan.

Lapor Utusan Malaysia, Menurut Zainal, semua kenderaan miliknya dan separuh kediamannya ditenggelami air bah.

Bagaimanapun, dia menzahirkan penghargaan buat semua pihak yang terlibat membantu keluarganya selain bersyukur kerana tidak mengalami kerosakan teruk seperi mangsa banjir lain.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat handai, keluarga, jiran tetangga serta jabatan-jabatan kerajaan yang datang membantu ketika saya dilanda musibah banjir.

“Rumah saya tidaklah berapa teruk kerosakannya, tetapi sedikit harta benda di tingkat bawah dan kesemua kereta saya ditenggelami air.

“Saya mempunyai sahabat-sahabat dan kaum keluarga yang betul-betul baik kerana membantu saya. Terima kasih,” katanya di Instagram.

Dalam pada itu, Zainal tetap menitipkan rasa syukur dan reda dengan uijian Allah SWT sudah tertulis buatnya.

“Ini adalah ujian Allah. Allah sayang kita, Allah uji kita. Kita harus tabah dan bertawakal.

“Insya-Allah, terburuk itu ada kalanya akan bertukar menjadi yang terbaik,” ujarnya panjang.

scroll to top