SITUASI pasca COVID-19 dijangka terus membimbangkan penggiat industri kreatif kerana tempoh pandemik ini berakhir atau berterusan masih jadi tanda tanya.
Pengarah filem terkenal, Datuk Afdlin Shauki berpandangan, kekuatan ekonomi Malaysia didorong golongan kelas pertengahan yang memberi pendapatan sangat besar seperti mana penonton Astro First.
“Sekarang ia makin kecil kerana pandemik, ramai tidak bekerja dan bisnes mula tutup. Bagi industri hiburan pemacunya adalah mereka yang menjadi pelanggan.
“Pada saya akan berlaku satu situasi jika tidak dibantu golongan pertengahan ini dapatkembali pekerjaan dan jalan bisnes mereka, industri hiburan pun akan terganggu dengansangat besar dan mungkin tak sesuai buat filem ditayangkan di pawagam.
Sebelum pandemik kita ada projek nak buat filem RM8 juta dan RM12 juta tetapi bila pandemik berlaku ia terus tutup,” katanya pada program FDAM Live yang berlangsung menerusi platform Facebook,Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) baru-baru ini.
Menurutnya, produser filem terpaksa menayangkan filem terbaharu mereka di platform Astro First ketika ini selepas pawagam ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuat kuasa.
“Ia menjadi terlalu lama untuk pelaburan sebuah filem. Jadi, mereka kena keluar juga iaitu di Astro First kerana tidak tahu bila pawagam akan dibuka dan jika pawagam dibuka adakah orang berasa selamat ke pawagam.
“Itu isu besar yang melembabkan industri hiburan dalam ekonomi pasca pandemik. Cuma TV dan media sosial akan berterusan kerana pandemik telah mamacu over-the-top (OTT) dan media sosial lebih penting daripada media lain,” katanya.
Jelasnya, mengikut data terkini, sebanyak 73 peratus rakyat Malaysia menghabisan masa mereka dengan telefon pintar sama ada membaca berita atau menonton video.
Bagi pelakon senior yang juga pengarah filem, Sabri Yunus, penggiat industri kreatif harus ada kesedaran bahawa golongan artis akan menghadapi liku yang sangat sukar dan banyak perkara harus diletakkan sebagai persediaan sama ada mental dan fizikal.
“Kita mungkin boleh siapkan kerja kita tapi jika pawagam tidak mampu untuk menjalankan perniagaan pada masa sama penonton keliru dan tidak berani ke pawagam, rentetan kesukaran akan berlaku.
Sabri yang popular dengan watak Pok Ya Cong Codei melihat peranan pawagam ketika pandemik COVID-19 sangat sukar dan penggiat industri kreatif perlu diberi lebih banyak peluang selepas pandemik ini berakhir.
“Saya fikir apa yang patut dilakukan adalah usaha bersama oleh pihak pemerintah termasuk stesen TV harus memberi peranan sebenar dalam menghadapi suasana ini.
Memang penggiat juga berfikir tapi pihak terlibat harus bantu dengan menyediakan ruang lain selepas ini,” katanya.
Sabri yang popular dengan watak Pok Ya Cong Codei melihat peranan pawagam ketika pandemik COVID-19 sangat sukar dan penggiat industri kreatif perlu diberi lebih banyak peluang selepas pandemik ini berakhir.
“Stesen TV harus keluar program baru yang sesuai dengan pasca pandemik dan ruang itu dibuka seluasnya di mana ia tidak dimonopoli pihak tertentu kerana ramai sangat terkesan dan sangat memerlukan pekerjaan.
“Semua ruang harus ada persediaan sendiri dan jika semua pihak letak peranan yang betul, saya rasa proses ini akan berjalan dengan baik,” katanya.
Baginya, pawagam dalam keadaan sekarang sudah menjadi sejarah apabila banyak operasi ditutup dan dia mencadangan agar lebih banyak platform OTT diwujudkan.
“Jika kecepatan ekonomi berubah dan pawagam boleh wujud semula tapi ia sangat sukar. Buat masa sekarang baik kita letak ia sebagai sejarah supaya kita dapat bersedia buat benda lain.
“Kita terima konsep pawagam itu kini di rumah dan ia perlu diperbanyakkan oleh stesen lain sedia ada,” katanya.
Berbeza dengan pandangan Sabri mengatakan pawagam menjadi sejarah, Afdlin pula tidak bersetuju kerana masih mengharapkan pawagam terus beroperasi.
“Saya tak nak bersetuju tapi kita mesti bersedia macam dalam produksi, ada ‘worst case’senario, kena berjaga kerana ia selalu terjadi.
“Dulu pelan nak buat filem besar tapi nak tayang di mana melainkan ada bajet sangat besar untuk hantar ke luar negara atau platform lebih besar. Ketika ini hanya Astro First,
Tonton Sinema dan beberapa portal lain yang boleh menyokong,” katanya.
Afdlin dan Sabri juga bersetuju agar stesen kerajaan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV Al Hijrah mewujudkan platform OTT untuk memudahkan filem tempatan ditayangkan kepada khalayak selepas ini dan paling penting secara tidak langsung mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penggiat industri kreatif.