Syarikat Malaysia-AS Meterai Perjanjian Tubuh Hub Filem

RAY LEE ... Pengasas/penerbit Hornbill.

KUALA LUMPUR:  Sebuah syarikat perfileman tempatan, Hornbill Films Sdn Bhd dan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Stanulis Films Inc. akan menubuhkan Pusat Hiburan dan Media pertama di Malaysia yang bakal dijadikan hub penerbitan filem dan siri drama.

Pengasas/penerbit Hornbill Ray Lee, 44, berkata pusat itu akan menempatkan sebuah studio pascapenerbitan serta sebuah hub pembangunan permainan video/Realiti Maya lengkap dengan kemudahan hotel dan kafe.

“Bergantung kepada kajian kebolehlaksanaan oleh Hornbill dan Stanulis, kolaborasi kami bukan saja dalam penerbitan filem tetapi kami juga akan membangunkan aktiviti media baharu.  Ini masa yang tepat memandangkan Hollywood sedang berkembang ke Asia Tenggara bagi mencipta kandungan premium untuk audiens antarabangsa.

“Bagi memperkenalkan filem ASEAN, saya akan menggunakan peluang ini untuk menggunakan watak daripada filem terbaharu saya ‘Infeksi Zombi’ sebagai tema reka bentuk setiap tingkat.  Kami juga akan mempertimbangkan satu tingkat khas sebagai dedikasi kepada filem dan pelakon ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Lee berkata perjanjian usaha sama yang ditandatangani pada 14 Okt lepas dengan Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Stanulis Films, Steve Stanulis  juga memasukkan penerbitan sekuel filem ‘Infeksi Zombi’ sebagai sebahagan daripada isi perjanjian.

“Usaha sama ini akan juga disertai oleh Anavlis Consultants Inc, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan di Wall Street dan disokong oleh syarikat yang berpangkalan di Hong Kong iaitu Sun Capital (Hong Kong) Limited untuk perancangan dan koordinasi  projek.

STEVE STANULIS … Presiden Stanulis Films.

“Saya amat teruja bahawa projek filem pertama kami ‘Infeksi Zombi’ kini dalam fasa prapenerbitan.  Saya juga berpeluang menjadi pengarah bersama dengan Steve dalam beberapa projek lain.  Ini sudah pasti akan memudahkan lagi laluan saya ke Hollywood.

“Usaha ini juga merupakan peluang keemasan bagi komuniti filem ASEAN untuk bekerjasama denga Steve di Hollywood untuk mengeksport kandungan yang sesuai ke peringkat antarabangsa.  Secara khusus, saya memang menanti peluang untuk bekerja dengan beliau dalam projek sekuel ‘Infeksi Zombi’ yang akan menjalani penggambaran di Malaysia tahun depan,” katanya.

Lee berkata, beliau dan Steve akan meninjau lokasi penggambaran luar dan studio di Malaysia hujung tahun ini selain mengadakan kunjungan hormat ke Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk berbincang mengenai perancangan mereka.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan melalui e-mel, Steve Stanulis berkata beliau menyambut baik perjanjian kerjasama dengan Hornbill Films untuk membawa filem-filem Hollywood ke Malaysia serta mempromosi filem Malaysia ke AS.

“Kami yakin ini merupakan peluang yang tidak harus disia-siakan.  Usaha sama ini pasti akan merapatkan komuniti filem Malaysia dan AS dalam memasarkan kandungan premium dalam pelbagi genre yang akan menghasilkan budaya baharu dalam industri hiburan pada peringkat antarabangsa di samping mempelawa syarikat baharu serantau untuk bekerjasama dalam industri kreatif,” katanya.

scroll to top