Tiga Pelakon Hidayah Ustaz Viral Masih Di Lokasi

SESI PENGGAMBARAN….Hidayah Ustaz Viral djangka ditayangkan tahun depan.

KESEMUA tiga orang termasuk seorang pelakon daripada penerbitan drama bersiri ‘Hidayah Ustaz Viral’ yang dilaporkan positif COVID-19 serta tujuh kontak rapat mereka masih berada di lokasi penggambaran di Kuala Kangsar, demikian ditegaskan oleh pengarah drama itu, Haizul Anafer Ali.

Mengulas dakwaan Presiden Pertubuhan Industri Kreatif Digital Malaysia (PIKDM) Mohd Dean Lau Abdullah dalam hantaran Facebooknya  bahawa tujuh orang artis dan kru berkenaan didapati positif dan sudah pulang ke ibu negara, Haizul berkata laporan yang siarkan dalam sebuah akhbar tempatan  itu tidak benar sama sekali.

Malah, katanya, jumlah yang positif bukan tujuh seperti didakwa tetapi hanya tiga orang iaitu seorang  pelakon, seorang pembantu peribadi pelakon itu dan seorang anggota kru penerbitan.

“Tujuh orang lagi adalah kontak rapat yang tinggal serumah dengan kru  tersebut. Kesemua mereka yang positif dan kontak rapat termasuk tiga lagi pelakon masih berada di lokasi.  Saya sendiri dan produser pun masih berada di Kuala Kangsar sampai hari ini.

“Yang sudah pulang ke Kuala Lumpur hanya dua orang jurusolek kerana bukan kontak rapat.  Mereka tinggal di rumah lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiga orang pelakon berkenaan akan pulang ke ibu negara hari ini selepas membuat ujian calitan petang semalam dan didapati negatif, ujarnya.

HAIZUL ANAFER ALI

Haizul turut menafikan bahawa terdapat anggota penerbitan itu memberi maklumat tidak benar kepada pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semata-mata bagi melepaskan diri.

Katanya mereka memberi kerjasama sepenuhnya kepada  KKM dan semua yang positif serta kontak rapat mematuhi arahan KKM dengan memakai gelang  dan dikuarantin.

“Segala perbelanjaan ujian calitan, kos penginapan semasa kuarantin dan makan minum ditanggung oleh penerbit.  Dakwaan yang dibuat oleh presiden persatuan berkenaan  iaitu hanya yang positif tinggal di lokasi manakala yang lain disuruh balik kerana penerbit tidak mahu menanggung kos adalah fitnah semata-mata,” tambahnya.

Menurut Haizul, daripada awal lagi, mereka melakukan kerja menurut Prosedur Operasi  Standard  yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Apabila seorang kru didapati demam, kami terus asingkan dia di rumah lain tanpa anggota kru lain.  Kami bawa dia ke klinik untuk buat ujian calitan pada hari sama.  Di Kuala Kangsar hanya ada satu klinik yang buat perkhidmatan itu mulai pukul 12.30 tengah hari hingga 4 petang.  Setelah menerima keputusan  positif, kami buat keputusan untuk menghentikan penggambaran selama dua hari.  Esoknya KKM bagi janji temu untuk pasang gelang,” katanya.

Haizul berkata penggambaran disambung semula sehari selepas berehat selama dua hari.

“Yang positif termasuk seorang pelakon berkenaan tidak hadir penggambaran.  Pelakon itu baru masuk set sehari selepas datang dari KL.  Dia mula masuk set pada 26 dan 27 Sept.  Selepas itu dia balik ke KL dan hadir semula ke set pada 2 Okt.  Dia menjalani ujian calitan keesokan harinya dan didapati positif,” katanya.

Menurut Haizul lagi, Penyelia Protokol Penggambaran telah memaklumkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia mengenai perkara itu.

“Tempoh kuarantin yang ditetapkan untuk penerbitan kami tamat hari ini,” katanya.

Drama tiga belas episod tulisan Wizemalia dan diterbitkan oleh Goldhill Pictures Sdn. Bhd. itu dijayakan oleh Alya Iman, Syafie Tee, Syafie Naswib dan Fauziah Nawi.

Drama itu dijangka disiarkan di TV AlHijrah tahun hadapan.

scroll to top