Enam Penghuni PUSPEN Melarikan Diri Diburu Polis

LARI: Enam suspek yang melarikan diri dari PUSPEN kini dalam buruan polis.

PAPAR: Polis giat memburu seramai enam penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di sini yang melarikan diri pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, kesemua suspek didapati melarikan diri kira-kira jam 6 pagi semasa hujan.

Katanya, suspek yang terlibat dikenal pasti warga tempatan yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 40-an dan dilaporkan baharu dimasukkan ke pusat terbabit sekitar hujung November lepas.

Dalam pada itu, pihaknya percaya tindakan melarikan diri itu adalah terancang membabitkan 11 penghuni di pusat berkenaan. Namun, hanya enam orang yang berjaya keluar dengan memanjat tembok pagar pusat pemulihan terbabit.

“Mereka dipercayai menaiki tembok pagar dengan memanjat badan antara satu sama yang lain sehingga berjaya keluar.

“Bagaimanapun, lima orang daripada mereka gagal berbuat demikian disebabkan pagar terlalu tinggi.

“Semasa kejadian, kesemua suspek dipercayai berpakaian biasa dan masih berada di sekitar daerah Papar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak polis giat menjalankan usaha memburu semua suspek kerana bimbang akan berlaku kejadian yang tidak diingini seperti pecah rumah atau jenayah lain.

Pihaknya turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung tahanan berkenaan supaya berhubung dengan bilik gerakan IPD Papar di talian 088-916064.

Selain itu katanya, maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Alif Mohd Razali  di talian 010-2611012.

Batholomew berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan kerana lari dari tahanan serta tentangan terhadap penangkapan yang sah di sisi undang-undang.

Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

scroll to top