KOTA KINABALU: Lapan anggota dan pegawai Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang lelaki di Tawau.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, antara yang ditahan terdiri daripada empat pegawai kanan dan empat pegawai rendah polis.
Katanya, semua tangkapan itu ditahan dan direman berkuatkuasa selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut.
“PDRM juga sudah menubuhkan pasukan siasatan khas dari Bukit Aman dan pihak polis tidak membuat kenyataan terperinci mengenai kes ini.
“Ia masih terlalu awal untuk sebarang kenyataan kerana dibimbangi boleh mengganggu siasatan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, kelmarin.
Idris berkata, pihak media juga dipohon supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengaitkan mengenai isu keselamatan kerana kes ini lebih bersifat peribadi.
“Setakat ini, kes masih diperingkat siasatan dan sidang media lanjut akan dibuat selepas siasatan dilengkapkan,” katanya.