PPM Lahad Datu Tahan Lelaki Miliki Dadah

SUSPEK: Suspek ditahan PPM Lahad Datu dan diserahkan kepada bahagian Narkotik IPD Lahad Datu. Kelihatan, (gambar kecil)  paket kecil lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu yang dirampas daripada suspek.

Oleh MARIAYATI MURSIDI

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu berjaya menahan seorang lelaki dalam Op Benteng Covid di kawasan perairan laut utara Pulau Tabawan, petang kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Lahad Datu Superintendan Gan Ping Sin berkata,  kira-kira jam 1 petang, pasukan menahan sebuah bot laju dinaiki seorang lelaki yang tidak dikenali dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan menjumpai paket kecil lutsinar berisi ketulan kristal yang disyaki dadah jenis syabu dan beberapa keping aluminium foil.

“Suspek berserta barang rampasan dianggarkan bernilai RM3,000 diserahkan kepada bahagian Narkotik IPD Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Gan berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa menggalakkan semua masyarakat pesisir pantai menyalurkan maklumat sekiranya mendapati terdapat kegiatan jenayah di sekitar mereka.

Beliau berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat boleh terus menyalurkan sebarang aduan melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 013-9391197 atau berhubung terus ke Markas Operasi PPM Lahad Datu di talian 011-63311721.

scroll to top