Dua Ahli Perniagaan Didenda RM42,000, Guna Dokumen Palsu

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA KINABALU: Dua ahli perniagaan dijatuhkan hukuman denda berjumlah RM42,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini atas tiga kesalahan menggunakan dokumen palsu.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Sharifah Norhafizah Syed Abdul Hamid, 33, dan abangnya Syed Hairul Nizam, 42, selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan berkenaan.

Sharifah Norhafizah dijatuhkan hukuman denda RM6,000 atau tiga bulan penjara bagi setiap pertuduhan, manakala Syed Hairul Nizam didenda RM8,000 atau empat bulan penjara juga untuk setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh membayar denda berkenaan.

Untuk ketiga-tiga pertuduhan itu, kedua-duanya didakwa dengan niat bersama, menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Penyata Akaun Semasa Bank Islam Syarikat Kadariah Corporation bertarikh 31 Julai, 31 Ogos dan 30 September 2016, bagi mendapatkan Tender Perkhidmatan Membekal Makanan Bermasak Ke Asrama SMK Kinabutan Tawau untuk tempoh kontrak 1 April 2017 hingga 31 Mac 2019.

Kesalahan dilakukan pada 24 November 2016 di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Kota Kinabalu.

Untuk itu, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Nartiah F Mirchelle Sambatan manakala kedua tertuduh diwakili peguam dari Azhier Arisin & Jaafar.

scroll to top