Ini adalah ujian Allah SWT – Ebit

TENOM:  “Semua pertuduhan yang dilontarkan hari ini adalah sebahagian ujian daripada Allah SWT terhadap diri saya,” kata pendakwah terkenal, Ebit Lew.

Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, dihadapkan ke mahkamah, di sini, selepas didakwa melakukan kesalahan gangguan seksual dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp di daerah Tenom.

Ebit Lew berkata, walaupun terkejut dengan tuduhan tidak berasas dan melampau itu, namun beliau tetap reda dengan segala ujian.

Katanya, ia adalah salah satu ujian Allah SWT dengan tujuannya untuk mengampunkan dosa, beri pahala serta juga menaikkan darjat.

“Saya tidak rasa apa-apa, saya tahu saya tidak bersalah dan yakin ini perancangan ramai orang daripada dulu lagi yang cuba mengganggu kerja-kerja amal kita.

“Memang setiap kali terkena ujian kita rasa berat, tapi saya dari dulu belajar, kita kena berdoa dan jangan bersedih kerana ujian yang datang itu adalah satu sunnahtullah,” katanya ketika ditemui, pada Jumaat.

Ebit berkata, pertuduhan yang dikenakan terhadapnya bertujuan mahu menjatuhkan kredibiliti beliau.

Katanya, beliau percaya ia dirancang oleh kumpulan tertentu sejak sekian lama untuk merendahkan dirinya.

“Saya reda dan saya anggap ini ujian daripada Allah untuk saya. Saya rasa tenang melaluinya kena pula kita tengah buat kerja amal,” katanya.

Ebit berdepan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, namun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan terbabit.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi berhubung kes berkenaan.

Katanya, ia bagi memastikan prosiding perbicaraan membabitkan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew berjalan lancar.

“Siasatan yang dijalankan ini merangkumi pelbagai sudut termasuk kemungkinan wujudnya sebagai tuduhan fitnah.

“Bagaimanapun katanya, hasil siasatan dan berdasarkan bukti-bukti yang nyata, pendakwaan terhadap pendakwah bebas itu diteruskan,”’katanya.

Abd Jalil berkata, siasatan sebelum ini dijalankan berikutan laporan polis yang diterima daripada seorang mangsa di daerah Tenom pada 7 Ogos tahun lalu.

scroll to top