Oleh MARIAYATI MURSIDI
TAWAU: Seorang ketua pembantu tadbir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini atas 22 pertuduhan mendapatkan suapan berjumlah RM24,580.45.
Silvester Pantau, 52, membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat atas kesemua pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1 )Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Tertuduh yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sepagaya, Lahad Datu, didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan, dengan mengemukakan 22 invois Syarikat Iskaraya Enterprise yang mana beliau mempunyai kepentingan iaitu Amrin Abdul Aziz selaku pemilik syarikat terbabit adalah saudaranya.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu antara 4 Mac hingga 13 November 2015 di pejabat sekolah berkenaan.
Sabit kesalahan di bawah Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2009, tertuduh berhadapan penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal jika kesalahan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Tertuduh dibebaskan setelah membayar bon jaminan sebanyak RM10,000 sementara menunggu tarikh pengurusan kes pada 28 Ogos depan.
Dalam pada itu, tertuduh juga diminta menyerahkan pasport miliknya kepada pihak mahkamah dan melapor diri ke pejabat SPRM sekali dalam tempoh dua bulan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Rekhraj Singh manakala tertuduh diwakili peguam Zahir Hussien Ahmad Shah.