Pijak, Cekik Dan Sepak Isteri, Lelaki Dipenjara 9 Bulan

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang penjual telur memijak kepala, mencekik leher dan menyepak belakang badan isterinya membawa padah selepas Mahkamah Majistret Selayang di sini menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan ke atasnya.

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Riduan Ismail, 34, mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut ke atas isterinya, Siti Rohmah Achmad Sarkati, 30, di sebuah rumah di Kampung Kerdas Batu, Gombak dekat sini pada 2 petang Isnin lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya dan tertuduh juga boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun.

Nur Hafizah juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman pemenjaraan itu bermula dari tarikh tangkap 6 Julai (Selasa).

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, semasa mangsa berada di rumah telah berlaku perselisihan faham dengan tertuduh, selepas mangsa bertanya kepada suaminya itu mengenai hubungan lelaki itu dengan seorang wanita yang tidak dikenali.

Tertuduh kemudiannya telah menyepak badan, mencekik leher, menumbuk dan memijak kepala mangsa. Mangsa mengalami lebam di kepala dan badan.

Ketika rayuan, Mohd Riduan yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Jean Francis memohon mahkamah mengenakan hukuman pemenjaraan yang singkat atas alasan tertuduh menanggung dua anak berusia tiga dan sembilan tahun selain hanya memperoleh RM1,500 sebulan hasil menjual telur di pasar.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran mengambil kira fakta kes.-Bernama.

scroll to top