12 Akademia UPSI Berjaya Jalani Penyelidikan Bersama Universiti Terkemuka Dunia

TANJUNG MALIM:Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berbangga dengan pencapaian beberapa akademia universiti berkenaan yang berjaya menjalinkan hubungan strategik dan penyelidikan bersama universiti terkemuka dunia.

PROF DATUK DR MD AMIN MD TAFF

Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff terharu dengan kejayaan akademia UPSI yang meneroka dan membina jalinan penyelidikan sekali gus menaikkan nama universiti.

“Pencapaian ini membanggakan dan kita berharap lebih ramai lagi akademia UPSI menjejaki mereka yang sudah berjaya membina jalinan penyelidikan itu,” katanya.

Menurut beliau UPSI sentiasa membuka ruang kepada universiti sama ada dalam mahupun luar negara di samping agensi-agensi korporat yang ingin mengadakan hubungan kerjasama dengan UPSI.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ts. Dr Suriani Abu Bakar menyifatkan kejayaan akademia berkolaborasi dengan universiti luar negara yang menduduki ranking yang baik di dunia menaikan nama UPSI.

PROF DR TS SURIANI ABU BAKAR

“Universiti sentiasa menggalakkan akademia mengembangkan kepakaran mereka bukan sahaja di dalam , malahan di luar negara supaya mereka dapat menimba pengalaman yang berguna untuk menaikkan ranking universiti sendiri,” katanya.

Kejayaan itu , katanya, juga umpama hadiah kepada universiti yang akan menyambut ulang tahun ke -100 penubuhan bermula era Sultan Idris Training Collge sekitar tahun 1920-an.

Beliau berkata Prof. Madya Dr. Azmi Mohamed yang juga Pengarah Bahagian Perancangan Korporat (BPK) berjaya menjalankan penyelidikan dengan Massachusetts Institute of Technology yang memiliki tempat pertama dalam ‘QS World University Rankings’.

Prof Madya Dr. Bahbibi Rahmatullah pula menjalankan penyelidikan dengan University of Oxford (Tempat ke-5), Prof. Dr. Ong Eng Tek ( University of Cambridge – tempat ke-7).

PROF MADYA DR AZMI MOHAMED

Prof Madya Dr. Rosmillah Misnan yang menjawat jawatan Pengarah Pejabat Karang Mengarang @Penerbit UPSI pula bersama dengan Imperial College London yang memiliki tempat ke-8, manakala Prof. Ts. Dr. Suriani Abu Bakar, Amreet Kaur Jageer Singh dan Prof Madya Dr. Raja Nor Safinas Harun (Pengarah, Institut Pengajian Siswazah) meraih kejayaan menjalankan penyelidikan bersama Nanyang Technological University, Singapore yang menduduki tempat ke-13.

“Dr. Omar Abdul Kareem menjayakan penyelidikan bersama Yale University yang menduduki tempat ke-17, Dr. Abdullah Hussein Abdullah Al-Amoodi dan Dr. Hasrul Hosshan berjaya menjalankan penyelidikan dengan The University of Sydney yang memiliki tempat ke-40.

Beliau berkata Dr. Wang Shir Li pula mencapai kejayaan menjalankan penyelidikan dengan UNSW Australia yang berada pada kedudukan ke-44 ‘QS World University Rankings’ seterusnya Prof Madya Dr Mohamed Nor Azhari Azman yang aktif dalam penulisan artikel jurnal menjalankan penyelidikan dengan universiti yang menduduki tempat ke- 48 iaitu City University of Hong Kong.

CEMERLANG… 12 akademia UPSI berjaya menjalankan penyelidikan bersama universiti terkemuka dunia.

scroll to top