17,105 Kes Baharu Hari Ini – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR: Sebanyak 17,105 kes baharu COVID-19 dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

DR NOOR HISHAM

Dr Noor Hisham menerusi hantaran di Facebook beliau berkata kes baharu itu menjadikan kumulatif kes di Malaysia kini mencecah 1,163,291 kes.

Beliau berkata Selangor kekal negeri dengan kes harian paling tinggi iaitu 5,836 kes diikuti Kuala Lumpur (2,309); Johor (1,275); Kedah (1,036); dan Sabah (1,010).

Perak pula merekodkan 967 kes baharu, Kelantan (915), Negeri Sembilan (816), Pulau Pinang (798), Pahang (628), Melaka (508), Sarawak (494), Terengganu (429), Putrajaya (72), Perlis (tujuh) dan Labuan (lima).

Sementara itu, Dr Noor Hisham menerusi kenyataan media memaklumkan daripada 17,105 kes baharu, 1.9 peratus iaitu 317 kes adalah daripada kategori tiga, empat dan lima manakala selebihnya daripada kategori satu dan dua.

Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19, katanya.

“Ada antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” kata Dr Noor Hisham.

Beliau berkata 195 kematian turut direkodkan hari ini dengan 88 kematian di Selangor, Johor (24), Pulau Pinang (15), Kedah (13), Sabah (12), masing-masing lapan kes di Negeri Sembilan, Melaka, dan Pahang, Terengganu (tujuh), Perak (empat), Kelantan (tiga), Sarawak (dua) serta masing-masing satu kes di Kuala Lumpur, Labuan dan Perlis.

Katanya 173 kematian melibatkan warganegara dan 22 lagi bukan warganegara.

“Jumlah pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula seramai 1,066 orang dengan 537 daripadanya memerlukan bantuan alat bantuan pernafasan.

“Sebanyak 12,297 kes sembuh turut dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini ialah 950,029 kes,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata 30 kluster baharu dikesan dengan 14 daripadanya berkaitan komuniti, 14 kluster melibatkan penularan di tempat kerja manakala dua lagi kluster berkaitan kumpulan berisiko tinggi.

Beliau berkata nilai kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia semalam adalah 1.07 dengan Terengganu mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.30, diikuti Kelantan (1.25) serta Perak 1.20.

Semua negeri lain mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Negeri Sembilan, Perlis dan Labuan, katanya.-Bernama.

scroll to top