17,405 Kes Baharu, Kumulatif Kes Cecah Angka Sejuta

DR NOOR HISHAM

KUALA LUMPUR: Kumulatif kes COVID-19 di negara kini mencecah angka sejuta dengan 1,013,438 kes, apabila sebanyak 17,045 kes jangkitan baharu wabak itu dilaporkan hari ini.

Jumlah kes baharu yang dilaporkan itu juga, merupakan yang tertinggi pernah direkodkan negara sejak pandemik itu melanda Malaysia Mac tahun lepas, mengatasi 15,902 kes yang dicatatkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di laman Facebook berkata, Selangor kekal sebagai negeri yang mencatatkan kes tertinggi dengan 8,500 kes dan Kuala Lumpur turut merekodkan kes empat angka dengan 2,045 kes, manakala Kedah 1,216 kes.

Johor mencatatkan 950 kes, diikuti Sabah (818), Perak (609), Pulau Pinang (573), Negeri Sembilan (513), Pahang (424), Sarawak (407), Melaka (370), Terengganu (273), Kelantan (266), Putrajaya (50), Labuan (21) dan Perlis (10).

Sementara itu, dalam kenyataan rasminya Dr Noor Hisham memaklumkan, perincian kes baharu hari ini merangkumi 17,039 kes tempatan dan enam kes import.

Menurutnya, daripada 17,045 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 187 kes adalah daripada kategori lima (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan), 124 kes kategori empat (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen), 122 kes kategori tiga (radang paru-paru), 7,489 kes kategori dua (bergejala ringan), dan 9,123 kes kategori satu (tidak bergejala).

“Keseluruhannya, 2.5 peratus kes yang dilaporkan hari ini berada pada kategori tiga, empat dan lima semasa baru didiagnosa, di mana ia berjumlah 433 kes yang perlu ditempatkan di hospital merawat COVID-19, yang semakin penuh dan sesak.

“Oleh itu masyarakat diseru untuk terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), elakkan perhimpunan terutama di tempat yang sempit dan kurang pengudaraan, serta segera dapatkan janji temu vaksin COVID-19 agar dilindungi bahaya COVID-19,” katanya.

Selain itu, beliau berkata dalam tempoh sama, kes sembuh juga mencatatkan angka tertinggi dengan 9,683 menjadikan jumlah keseluruhan individu pulih daripada wabak itu kini 844,541.

Perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kes aktif sebanyak 160,903, manakala kes yang sedang dirawat dalam unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 970, termasuk 501 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 92 kematian baharu dilaporkan, menjadikan jumlah korban wabak itu di Malaysia mencecah 7,994 orang.

Dr Noor Hisham berkata berdasarkan data setakat semalam, nilai kadar kebolehjangkitan (RT) Malaysia adalah sebanyak 1.11, manakala negeri yang mencatatkan nilai RT paling tinggi adalah Terengganu dengan 1.36, diikuti Kelantan (1.29) dan Kedah (1.23).

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat 34 kluster baharu dikesan melibatkan 18 kluster di tempat kerja, 15 kluster membabitkan komuniti serta satu kluster berkaitan kumpulan berisiko tinggi.-Bernama.

scroll to top