199 Kematian Dilaporkan Hari Ini, Tertinggi Setakat Ini

DR NOOR HISHAM

KUALA LUMPUR: Sebanyak 199 kematian dilaporkan hari ini, angka tertinggi dicatatkan sejak pandemik ini melanda negara sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 sebanyak 7,440 orang, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi kenyataan mengenai perkembangan COVID-19, beliau memaklumkan kematian itu melibatkan 84 orang di Selangor, Kuala Lumpur (57), Melaka (16), Kedah (12), Negeri Sembilan (tujuh), Johor (enam), Pahang (enam), Terengganu (tiga), Pulau Pinang (dua), Perak (dua), Kelantan (dua) dan  masing-masing satu kes di Sabah dan Sarawak.

“Jumlah individu yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) setakat ini 927 orang dengan 459 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Jumlah kes sembuh dalam tempoh 24 jam lepas adalah 7,902, menjadikan jumlah kumulatif 806,857 kes manakala kes aktif kini sebanyak 137,587 kes,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, dalam tempoh 24 jam lepas, Malaysia mencatatkan kes baharu COVID-19 sebanyak 11,985 kes, dengan Selangor kekal merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 5,550.

Daripada 11,985 kes harian itu, 65 kes adalah daripada kategori 5 (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan), 45 kes kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen), 178 kes kategori 3 (radang paru-paru), 5,847 kes kategori 2 (bergejala ringan), dan 5,850 kes kategori 1 (tidak bergejala).

“Secara keseluruhannya, hanya 2.4 peratus kes yang dilaporkan pada hari ini berada pada kategori 3 hingga 5 dan 97.6 peratus kes berada pada kategori 1 dan 2, iaitu pada mula didiagnosa,” katanya.

Beliau berkata daripada laporan yang diterima Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) Kebangsaan dan CPRC Perkhidmatan Hospital, kumpulan umur lebih muda misalnya 40-an dan 50-an dilihat lebih banyak memenuhi ICU berbanding warga emas berumur 60 tahun dan ke atas.

Situasi ini membuktikan vaksin telah membantu mengurangkan jangkitan COVID-19 kalangan golongan rentan dan warga emas.

“Oleh itu, KKM ingin terus menyeru warga Malaysia terutamanya daripada kumpulan umur 18 hingga 59 tahun untuk mendaftar, mengikut janji temu yang ditetapkan, dan hadir mendapatkan vaksin COVID-19,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat 30 kluster baharu dikesan melibatkan 17 kluster tempat kerja, lapan kluster komuniti, dua kluster kumpulan berisiko tinggi, dua kluster keagamaan dan satu kluster pendidikan tinggi, menjadikan jumlah kluster aktif kini 931 kluster.

Mengenai nilai kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) Dr Noor Hisham berkata di Malaysia semalam adalah 1.12 dengan Terengganu mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.31, diikuti Sabah (1.25), Kedah (1.23), Pulau Pinang (1.22), Johor (1.20), Putrajaya (1.19), Selangor (1.15).

Negeri-negeri lain yang turut mencatatkan Rt melebihi 1.0 ialah Negeri Sembilan (1.14), Pahang (1.14), Perak (1.13), Melaka (1.12), Kelantan (1.10) dan Kuala Lumpur (1.08).- Bernama.

scroll to top