20,596 Kes Baharu, Jumlah Harian Tertinggi – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan sebanyak 20,596 kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini, iaitu angka harian tertinggi sejak pandemik itu melanda negara pada tahun lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

DR NOOR HISHAM

Menerusi perkongsian data terkini jangkitan COVID-19 di Twitternya, beliau berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sudah mencecah 1,203,706.

Beliau berkata Selangor kekal penyumbang utama kes dengan 8,549 kes dilaporkan, diikuti Kuala Lumpur dengan 2,163 kes, Kedah (1,446), Johor (1,300), Sabah (1,062) dan Pulau Pinang (1,022).

Sementara, Negeri Sembilan merekodkan 989 kes, Perak dengan 916 kes, Kelantan (772), Sarawak (759), Melaka (622), Terengganu (501), Pahang (426), Putrajaya (50) dan Labuan (15) manakala Perlis hanya empat kes.

Semalam, Malaysia merekodkan sebanyak 19,819 kes baharu wabak itu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menerusi kenyataan memaklumkan daripada 20,596 kes baharu, 398 kes (1.9 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala 20,198 kes (98.1 peratus) adalah daripada kategori satu dan dua.

“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosis COVID-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya.

Secara keseluruhan, Dr Noor Hisham berkata hanya 4,660 kes (22.6 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini, mempunyai sejarah imunisasi COVID-19.

Beliau berkata sebanyak 164 kes kematian direkodkan dengan 45 kes di Selangor; Johor (27); Kuala Lumpur (24);  Kedah (18); Perak (10); masing-masing sembilan kes di Sabah, Pulau Pinang, dan Melaka; Negeri Sembilan (tujuh); masing-masing dua kes di Sarawak dan Pahang; serta masing-masing satu kes di Kelantan dan Terengganu.

Sebanyak 150 kematian adalah melibatkan warganegara dan 14 lagi bukan warganegara.

Sejumlah 1,078 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 549 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

“Sebanyak 13,893 kes sembuh direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif adalah 976,626 atau 81.1 peratus,” katanya.

Mengenai 33 kluster baharu yang dikenal pasti, Dr Noor Hisham berkata 18 daripadanya adalah kluster tempat kerja, 12 kluster komuniti, dua kluster pusat tahanan serta satu kluster yang berkaitan kumpulan berisiko tinggi.

Beliau berkata nilai kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia semalam adalah 1.07 dengan Kelantan mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.31, diikuti Terengganu (1.26) dan Perak (1.22).-Bernama.

scroll to top