207 Kematian Dilapor Hari Ini, Tertinggi Setakat Ini

DR NOOR HISHAM

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan kematian harian tertinggi hari ini sejak penularan COVID-19 di negara ini dengan 207 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara ini sebanyak 8,201 kes atau 0.80 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata kes kematian itu membabitkan 184 warganegara, manakala 23 lagi warga asing sekali gus mengatasi angka kematian tertinggi sebelum ini yang dilaporkan pada 21 Julai iaitu 199 kematian.

Sementara itu, jumlah individu yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) setakat ini 1,009 orang dengan 524 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Jumlah kes sembuh dalam tempoh 24 jam lepas adalah 9,372, menjadikan jumlah kumulatif 853,913 kes atau 83.1 peratus, manakala kes aktif kini sebanyak 165,840 kes,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 207 kes kematian yang dicatatkan hari ini melibatkan 57 kes di Selangor, diikuti Kuala Lumpur (52), Johor (24), Kedah (19) dan Melaka (18), Negeri Sembilan (14), Pahang (tujuh), Sabah (enam), Perak (lima), Pulau Pinang (tiga) dan Terengganu (dua).

Dr Noor Hisham berkata daripada 14,516 kes baharu yang dilaporkan hari ini menunjukkan 95 kes atau 0.7 peratus (97.9 peratus kes tiada sejarah vaksinasi) adalah daripada Kategori 5 iaitu kes kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan.

 “Sebanyak 77 kes atau 0.5 peratus (85.7 peratus kes tiada sejarah vaksinasi) adalah Kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen), manakala 83 kes atau 0.6 peratus (67.5 peratus kes tiada sejarah vaksinasi) adalah Kategori 3 (radang paru-paru).

“Sejumlah 7,045 kes atau 48.5 peratus (87.6 peratus kes tiada sejarah vaksinasi) adalah Kategori 2 (bergejala ringan) dan 7,216 kes atau 49.7 peratus (95.6 peratus kes tiada sejarah vaksinasi) adalah Kategori 1 (tidak bergejala),” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata semua angka dan peratusan berkenaan dilaporkan berdasarkan keadaan klinikal semua pesakit semasa baru didiagnosis COVID-19.

“Ada di antara mereka kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan mereka sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

Didapati majoriti besar kes yang baharu didiagnosis COVID-19 iaitu 92 peratus tidak mempunyai sejarah vaksinasi. Oleh itu, segeralah dapatkan vaksinasi agar anda dan keluarga terlindung daripada bahaya jangkitan COVID-19,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata berdasarkan data setakat semalam, nilai kadar kebolehjangkitan (RT) Malaysia adalah sebanyak 1.15, manakala negeri yang mencatatkan nilai RT paling tinggi adalah Terengganu dengan 1.36, diikuti Kedah (1.26) dan Sabah (1.24).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 33 kluster baharu dikesan melibatkan 21 kluster tempat kerja, 10 kluster komuniti dan masing-masing satu melibatkan institusi pendidikan swasta dan pendidikan lain.-Bernama.

scroll to top