20,988 Kes Baharu Hari Ini, Selangor Kekal Tertinggi – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR: Kes baharu COVID-19 dalam negara hari ini meningkat kepada 20,988 berbanding 18,762 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di laman Facebook berkata kumulatif kes COVID-19 kini adalah sebanyak 1,786,004 kes.

DR NOOR HISHAM

Selangor kekal mencatatkan jumlah kes harian tertinggi dengan 4,073 kes, diikuti Sarawak (2,992), Kedah (2,455), Sabah (2,329), Johor (2,145), Pulau Pinang (1,600) dan Kelantan (1,247).

Negeri yang merekodkan kes harian dengan tiga angka pula adalah Perak iaitu 990 kes, Terengganu (987), Kuala Lumpur (731), Pahang (599), Melaka (407) dan Negeri Sembilan (301).

Tiga negeri kekal mencatatkan kes di bawah paras 100 iaitu Perlis dengan 90 kes, Putrajaya (37) dan lima kes di Labuan.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 341 kes atau 1.6 peratus terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima, manakala sebanyak 20,647 kes atau 98.4 peratus lagi kategori satu dan dua.

“Secara keseluruhan, 9,860 kes atau 47.0 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada sejarah vaksinasi, 4,995 kes atau 23.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 6,133 kes atau 29.2 peratus mempunyai sejarah vaksinasi lengkap,” katanya.

Dengan perkembangan terbaharu ini, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 262,540 kes aktif direkodkan setakat ini dengan kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 1,417 kes.

Daripada jumlah kes yang dirawat di ICU itu, 1,001 kes disahkan COVID-19 manakala 416 lagi masih disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Memperincikan lebih lanjut, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 783 kes memerlukan bantuan pernafasan iaitu 470 disahkan COVID-19, manakala baki 313 lagi masih disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Sebanyak 23,473 kes sembuh direkodkan hari ini, manakala terdapat 249 lagi kematian dengan 80 kes meninggal di luar hospital atau brought-in-dead,” katanya.

Ini katanya menjadikan jumlah keseluruhan maut setakat ini akibat pandemik tersebut sebanyak 17,191 orang.

Menurut Dr Noor Hisham, terdapat 31 kluster baharu direkodkan hari ini menjadikan 1,488 kluster aktif setakat ini.

Daripada jumlah kluster baharu itu, 17 daripadanya ialah kluster tempat kerja, kluster komuniti (sembilan), kluster kumpulan berisiko tinggi (empat) dan kluster pendidikan tinggi (satu), katanya.-Bernama.

scroll to top