CYBERJAYA: Dalam keadaan maklumat mudah diperoleh di hujung jari, masyarakat dinasihatkan mengamalkan sifat tabayyun bagi mengelakkan fitnah.
Pakar Sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata sifat itu penting supaya kita sentiasa merujuk kepada sumber asal agar tiada pihak boleh membuat manipulasi atau andaian sendiri sehingga boleh menjejaskan keharmonian, ketenteraman dan kestabilan dalam kalangan masyarakat atau negara.
Beliau berkata, dalam pandemik COVID-19, keadaan menjadi lebih serius yang mana masyarakat lebih gemar membuat interpretasi sendiri dan ‘menjatuhkan hukuman’ kepada pihak lain berdasarkan sumber berita daripada media sosial yang kesahihannya meragukan.
“Lebih menyedihkan, berita yang disebarkan itu direka oleh orang yang tidak bertanggungjawab atau mempunyai kepentingan peribadi untuk melaga-lagakan antara satu sama lain sehingga berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat.
“Oleh kerana tiada sifat tabayyun, ramai mempercayai bulat-bulat isu viral dan bertindak melulu berdasarkan apa yang dibaca, ditonton atau didengari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas gelagat dalam kalangan masyarakat yang dengan mudah memberi komen negatif dan tidak mempu mengawal emosi ketika mengikuti perkembangan sesuatu isu di media sosial sehingga menimbulkan perang siber.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), kini terlalu banyak maklumat boleh didapati dengan mudah dan isu viral pastinya lebih pantas dicapai, namun semuanya memerlukan saringan kendiri.
Beliau berkata, masyarakat perlu aplikasikan sifat tabayyun yang bererti mencari fakta tentang sesuatu hingga jelas dan benar keadaannya.
Katanya, sifat itu boleh dipraktikkan dalam pelbagai aspek, jangan sesekali mudah percaya maklumat yang terhidang dalam isu viral di media sosial walaupun yang berunsurkan agama.
“Contohnya, dalam isu vaksinasi, rujuklah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai sumber rasmi yang sah.
“Sekiranya sesuatu isu berkait dengan individu atau kumpulan tertentu, kita rujuk sumber asal yang sahih dan jangan bertindak berdasarkan emosi dan sumber tidak pasti kesahihannya kerana dikhuatiri akan menimbulkan kepincangan dalam masyarakat,” katanya.