Belenggu ‘Penjajahan’ COVID-19 Satukan Semangat Cinta Negara

USTAZ MUHAMMAD TARMIZI ABDUL RAHMAN

TANJUNG MALIM: Sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal disambut tidak beberapa hari lagi, masyarakat termasuk mahasiswa sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia disaran menghargai nikmat kemerdekaan dan keamanan negara walaupun sedang ‘dijajah’ COVID-19.

Pengarah Pusat Islam,Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Rahman berkata selepas 64 tahun menikmati kemerdekaan, mahasiswa UPSI seperti universiti lain juga berhadapan krisis COVID-19 menyebabkan tidak dapat pulang ke kampus.

“Namun, kita menghadapi ‘penjajahan’ baharu iaitu dibelenggu serangan COVID-19  bukan penghalang meruntuhkan fokus terhadap usaha mengubah dan membangunkan  kehidupan kepada lebih baik,” katanya.

Menurutnya, dalam norma baharu,   kita perlu mengutamakan keselamatan dan kesihatan serta prihatin terhadap keperluan rakyat, selari dengan tema sambutan kemerdekaan, ‘Malaysia Prihatin’.

Beliau berkata ia selaras dengan tuntutan bersederhana seperti firman Allah SWT: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”. Surah al-Furqan: ayat 67.

“Sebagai warganegara Malaysia, generasi pasca merdeka hari ini termasuk mahasiswa tanpa mengira agama, bangsa, keturunan, umur dan jantina,  perlu menyumbang kesetiaan dan memelihara kedaulatan negara daripada sebarang bentuk penjajahan masa kini termasuklah penjajahan minda, budaya, sosial, ekonomi, politik dan terbaru yang sedang melanda di seluruh dunia iaitulah “pejajahan” oleh wabak virus COVID-19,”katanya.

Beliau berkata model dan contoh terbaik yang ditunjukkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW, 1400 tahun yang lalu khususnya dalam menghadapi kepelbagaian latarbelakang masyarakat, budaya dan agama pada ketika itu, amat sesuai dan relevan untuk diaplikasikan dalam negara Malaysia hari ini yang berkonsepkan Keluarga Malaysia.

Prinsip Keluarga Malaysia itu sendiri, katanya, menepati falsafah rukun negara Malaysia iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluruhan Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, dan Kesopanan dan Kesusilaan, sebagai asas dan kekuatan utama untuk seluruh warganegara bersatu hati dalam memelihara dan mempertahankan nama baik Malaysia.

Ustaz Tarmizi memetik pandangan Allahyarham Prof Dr Hamka, ulama dan sasterawan Indonesia yang menyatakan bahawa “Iman dan takwa kepada Allah SWT membukakan pintu rezeki, melapangkan fikiran, mendatangkan ilham dan menyuburkan silaturrahim sesama manusia. Lantaran itu, timbullah kerjasama yang baik sebagai khalifah Allah di muka bumi dan dengannya akan turunlah rahmat dari langit dan suburlah berkat dari rumah”.

Justeru, katanya, masyarakat perlu terus utuh, lestari serta bertanggungjawab  memainkan peranan masing-masing dengan semaksimum mungkin tanpa membezakan warna kulit, bangsa dan agama agar negara Malaysia  kekal menjadi negara yang aman dan sentosa serta diberkati Allah.

scroll to top