Bobbey Kemuka Kepentingan Rakyat Sabah Dalam Ucapan Sulung

SENATOR DATUK BOBBEY SUAN

KUALA LUMPUR;  Beberapa isu penting berkaitan hak dan kepentingan rakyat Sabah dibangkitkan dalam ucapan sulung Senator Datuk Bobbey Suan di Dewan Negara.

Ketika mengambil bahagian dalam sesi  perbahasan menjunjung kasih Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sempena  Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Parlimen Ke-14, Bobbey berkata antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63.

Katanya,sesuai dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’, seluruh rakyat Sabah  menetapkan pendirian untuk tetap kekal bersatuhati, bersepakat, seia dan sekata dalam memperjuangkan hak-hak Sabah di bawah Persekutuan Malaysia sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Perbezaan ideologi politik tidak semestinya menjadi jurang pemisah dalam memperjuangkan hak-hak Sabah di peringkat persekutuan. Kesatuan dan kesepakatan  sangat penting agar kita sentiasa senada dan seirama dalam memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah demi kemajuan dan kesejahteraan semua,” katanya.

Sesungguhnya komitmen Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu-isu berhubung dengan tuntutan Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 termasuklah keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan dan keselamatan semasa pembentangan RMKe-12 baru-baru ini amatlah dihargai oleh rakyat Sabah.

Bobbey juga   menyambut baik Fokus ke-7 dalam RMKe-12 iaitu inisiatif untuk melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun yang mana dengan pelaksanaan strategi dan inisiatif untuk melonjakkan pembangunan Sabah, pertumbuhan purata KDNK tahunan negeri Sabah dijangka meningkat pada kadar 6.5% dalam tempoh 2021 hingga 2025.

Justeru, sebagai sebuah wilayah dalam Persekutuan Malaysia ,sejajar dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’ beliau  mengharapkan agar pihak Kementerian Kewangan mengotakan janji mewujudkan mekanisme untuk memantau status penyaluran peruntukan belanjawan tahunan secara komprehensif dan konsisten.

Ia adalah penting  untuk menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda Pembangunan Mampan 2030 yang bertujuan untuk membasmi semua bentuk kemiskinan, memerangi ketaksamaan, mengurangkan kerenah birokrasi, mewujudkan keamanan, menangani masalah alam sekitar yang mendesak dan memastikan tiada sesiapapun yang terpinggir khususnya di Sabah.

Mengulas mengenai Akta Laut Wilayah 2012 , undang undang itu menggariskan had kawasan kedaulatan negara dan negerinya dari garisan pantai. Ini termasuk laut, dasar laut, dan tanah dalam, yang merupakan lapisan tanah di bawah dasar laut.

Walaupun undang-undang antarabangsa menghadkan perairan wilayah Malaysia kepada 12 batu nautika (22km) dari pantai, Akta ini menghadkan perairan negeri hingga tiga batu nautika (5.5km) dari pantai, termasuk untuk Sabah dan Sarawak. Sebelum 1963, Sabah dan Sarawak, sebagai negara merdeka dalam Malaysia, mempunyai kedaulatan terhadap perairan sehingga 12 batu nautika dari pantai mereka.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Sabah kekal dengan pendirian menolak sebarang usaha untuk menguatkuasakan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) yang menghadkan sempadan perairan Sabah sehingga 3 batu nautika dari pantai.

Akta ini bertentangan dengan Artikel 1 (3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan wilayah bagi setiap negeri adalah kawasan yang termasuk dalam negeri terbabit sejak sebelum Hari Malaysia. Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak pernah memberikan persetujuan untuk penguatkuasaan Akta 750 itu di Sabah, katanya.

“Mengubah sempadan Sabah memerlukan suara majoriti pada persidangan DUN. Sabah tidak pernah mengubah sempadannya kecuali pada 1984 apabila Pulau Labuan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan dan dijadikan Wilayah Persekutuan.

Bobbey juga mencadangkan penubuhan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) baru di daerah Nabawan untuk mengekang aktiviti haram termasuk penyeludupan serta jenayah lain di kawasan sempadan Malaysia – Kalimantan.

Dalam usaha menjaga kedaulatan negara, mengekang jenayah rentas sempadan dan meningkatkan kegiatan sosio ekonomi di antara Sabah-Malaysia dan Kalimantan-Indonesia, pihak Kerajaan Negeri Sabah  mengenalpasti Kampung  Bantul, di daerah Nabawan sebagai lokasi yang amat sesuai dibangunkan sebagai Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) baru bagi mengawal pintu masuk darat di antara sempadan Sabah, Malaysia dan Kalimantan Timur, Indonesia, katanya.

Beliau juga memuji semangat ‘Keluarga Malaysia’ di mana rakyat berbilang kaum, bangsa, budaya dan agama dapat hidup dengan penuh kemakmuran dan bekerja bersama-sama iaitu “berdiri sama tinggi, duduk sama rendah” demi kemajuan negara.

“Sebarang bibit-bibit pertelingkahan hendaklah segera dihentikan supaya Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan bersatu padu,” katanya.

scroll to top