Dua Hari Berturut-Turut Kes Baharu Melebihi 17,000

KUALA LUMPUR: Kes baharu positif COVID-19 hari ini dilaporkan sebanyak 17,170 menjadikannya hari kedua berturut-turut negara ini merekodkan kes melebihi 17,000.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan di Twitter berkata jumlah kumulatif kes dalam negara kini meningkat kepada 1,078,646.

DR NOOR HISHAM

Selangor kekal menjadi negeri mencatatkan pertambahan kes tertinggi iaitu sebanyak 7,163 kes, diikuti Kuala Lumpur dengan 2,138 kes.

“Selain itu, Kedah merekodkan 1,212 kes; Johor (1,054); Negeri Sembilan (884); Sabah (776); Pahang (638); Kelantan (615); Perak (596); Sarawak (582); Pulau Pinang (554); Terengganu (437) dan Melaka (416),” katanya.

Putrajaya pula merekodkan kes sebanyak 84 diikuti Labuan (11) dan Perlis (10).

Sementara itu, Dr Noor Hisham menerusi kenyataan media memaklumkan pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi angka 1,000 dengan 1,043 kes manakala 531 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Menurutnya 12,930 kes sembuh wabak itu dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini ialah 890,742 kes.

Dalam pada itu katanya terdapat 174 kes kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian sebanyak 8,725 kes setakat ini.

Beliau berkata kes kematian itu melibatkan 157 warganegara dan 17 lagi adalah warga asing.

Dr Noor Hisham berkata 36 kluster baharu dikesan semalam dengan 18 daripadanya berkaitan dengan tempat kerja, 14 kluster komuniti, tiga kluster kumpulan berisiko tinggi serta satu kluster pusat tahanan.

Beliau turut berkongsi nilai kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia semalam adalah 1.16 dengan Terengganu mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.33, diikuti Kelantan (1.26), serta Sabah dan Pulau Pinang masing-masing 1.25.

Semua negeri mencatatkan Rt melebihi 1.0 kecuali Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Perlis.

Sementara itu beliau berkata daripada 17,170 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 383 kes (2.3 peratus) adalah daripada kategori tiga, empat, dan lima, manakala sebanyak 16,787 kes (97.7 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

Katanya perkara itu adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu diagnosa COVID-19.

“Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya. – Bernama.

scroll to top