FBK Anjur Misi Kemanusiaan Lubnan #FBKPRIHATIN

TANJUNG MALIM: Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK),  Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  melaksanakan program  Misi Kemanusiaan Lubnan #FBKPRIHATIN bagi membantu rakyat Lubnan yang sedang mengalami kesukaran hidup.

Misi  yang dijalankan selama 13 hari iaitu bermula pada 24 Julai lalu akan tamat  pada 5 Ogos depan.

Dekan FBK, Prof Madya Dr Mazura @Mastura Muhammad berkata   misi dijalankan bertujuan  untuk membantu meringankan beban masyarakat Lubnan.

DR MAZURA@ MASTURA MUHAMMAD

“Dengan misi ini, kita juga dapat memupuk semangat kasih sayang sesama manusia dan dapat memupuk sikap menderma dalam masyarakat,”  katanya.

Beliau berkata menerusi  misi berkenaan, warga UPSI dan  masyarakat setempat boleh menyumbangkan pelbagai bentuk sumbangan yang ingin mereka salurkan melalui FBK.

Katanya antara bentuk sumbangan yang boleh diberikan adalah seperti alat tulis, baju sejuk, walkers (dewasa), kerusi roda, pampers kanak-kanak, tuala wanita dan permainan kanak-kanak.

Beliau berkata para penderma boleh menghantar barangan yang ingin mereka sumbangkan di pusat pengumpulan Tanjung Malim yang beralamat di No. 25, Jalan Wangsa Jaya 4, Taman Wangsa Jaya, Tanjung Malim, Perak Darul Ridzuan.

Waktu pembukaan pusat pengumpulan Tanjong Malim itu bermula pada pukul 7 pagi hingga 7 malam.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr  Saipolbarin Ramli berkata program seumpamanya dapat mendedahkan pelajar UPSI kepada aktiviti kemanusiaan peringkat antarabangsa.

DR SAIPOLBARIN RAMLI

“Para pelajar yang bertindak sebagai ahli jawatankuasa  program yang didedahkan dengan gerak kerja kesukarelawanan secara berstuktur dan terancang,” katanya.

Menurut Dr Saipolbahrain program itu melibatkan semua persatuan di FBK, dan fokus bantuan adalah masyarakat di kawasan selatan bandaran Lubnan meliputi org awam, hospital, sekolah dan institusi yang berada di sana.

“Selain sumbangan berbentuk material, pihak FBK juga mencetak 1000 broshure tentang menjaga kesihatan khususnya dalam masa pandemik dalam dwi bahasa iaitu bahasa Arab dan bahasa Inggeris yang  bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Lubnan tentang peri pentingnya menjaga kesihatan,” katanya.

Sebarang pertanyaan berkaitan dengan misi itu boleh berhubung dengan Dr. Mohamad Rozi Kasim (FBK) 0134337730/ Dr. Norfaizah  Abdul Jobar (FBK) 0195754572/ Pn. Nordiana  Ramli (JHEPA) 017535376  atau Mohd Sharifuddin Razman (FBK) 0194777701.

scroll to top