FBK UPSI Lancar Buletin Jawi

PELANCARAN….Majlis pelancaran Tinta Jawi secara maya.

TANJUNG MALIM: Usaha memperkasakan tulisan jawi di negara perlu diperkasakan oleh pelbagai pihak termasuk insyitusi pengajian tinggi.

Justeru , Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris mengambil inisiatif menjayakan pelbagai aktiviti mengimarahkan tulisan jawi menerusi program minor jawi.

PROF Madya Dr Mohd Rashid Idris

Naib Canselor, Prof Datuk Dr  Md Amin Md Taff menyifatkan inisiatif FBK itu tepat dan selaras dengan aspirasi universiti untuk memperkasakan tulisan jawi.

“Malahan, logo sempena sambutan 100 tahun empat era iaitu Sultan Idris Training College- Maktab Perguruan Sultan Idris – Institut Perguruan Sultan Idris sehingga UPSI juga dimasukkan tulisan jawi  yang mencerminkan tulisan jawi tidak boleh dipinggirkan,” katanya.

Ketika berucap melancarkan buletin Tinta Jawi yang diterbitkan secara digital, Dekan FBK, Prof Madya Dr Mazura @ Mastura Muhammad  mengucapkan tahniah atas usaha dan kerja keras kakitangan yang menggerakkan penerbitan Tinta Jawi.

“Tulisan jawi adalah warisan bangsa Melayu sejak abad ke-10 yang sinonim dengan pendudukan  Melayu beragama Islam,” katanya.

Beliau berkata tulisan jawi adalah khazanah yang patut dijaga dan sangat berharga, malah  perlu dimartabatkan oleh semua pihak.

Katanya, tulisan jawi juga merupakan  khazanah warisan peradaban dan lambang jati diri bangsa Melayu yang mesti dipelihara.

Justeru, katanya, FBK akan berusaha memartabatkan tulisan jawi dalam kalangan pelajar  dan kakitangan.

DEKAN FBK, Prof Madya Dr Mazura @ Mastura Muhammad

Buletin bahasa Melayu versi jawi  diharapkan dapat menarik minat pelajar dan warga UPSI mempelajar jawi.

Sementara itu Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Prof Madya Dr Mohd Rashid Idris berkata edisi pertama Tinta Jawi yang dilancarkan adalah usaha mengimarahkan tulis jawi  dengan slogan ‘Ingat UPSI, Ingat Jawi’.

“Buletin Tinta Jawi keluaran pertama ini mengandungi segmen seperti kenali tokoh, penulis tamu, manuskrip Melayu, resensi buku,  sistem ejaan jawi yang disempurnakan, seni khat jawi, uji minda serta ruangan karya kreatif.

Beliau berkata penerbitan Tinta Jawi adalah mengembalikan semula usaha Pendeta Za’ ba dan mengambil sempena sambutan 100 Tahun SITC-MPSI –IPSI serta UPSI.

Beliau berkata Tinta Jawi yang diterbitkan dua kali setahun iaitu bulan Julai dan Disember.

Editor Tinta Jawi dibarisi Ketua Editor, Dr. Sabariah Sulaiman, manakala editor terdiri daripada Prof Madya Dr. Mohd Rashid Md Idris, Dr. Makmur  Harun, Dr. Ghazali Din, Dr. Nur Faaizah Md Adam, Dr. Alizah Lambri, Dr. Siti Nor Amalina Ahmad Tajuddin, En. Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi, En. Muhammad Faris Mohd Noor Azman, Nurnajwa Maisarah Mohamad Fauzan Philip, Hana Nisrina Ahmad serta Fatimah Auni  Ramli

Mantan pensyarah kesusasteraan UPSI serta penggiat khat dan tulisan jawi, Prof Emeritus Dr Bukhari Lubis yang turut membantu melahirkan kegembiraan kerana UPSI menerusi program minor jawi FBK menggerakkan usaha mengangkat martbat tulisan  jawi.

Terdahulu diadakan Wacana Akademik Sembang Jawi yang disampaikan oleh Penolong Professor Kanan , Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Brunei Darussalam Dr Hj. Harapandi Dahri yang dipengerusikan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FBK,  Dr Ariff Mohamad   dengan tajuk perbincangan ‘Peka Jawi : Peranan dan Usaha Brunei’ menerusi TMfacelive FB Live .

MUKA DEPAN…   Muka hadapan Tinta Jawi  yang diterbitkan secara digital.

Antara lain Dr Hj. Harapandi berharap  UPSI  terus memperjuangkan tulisan jawi  sebagaimana di Brunei berikutan tulisan itu  diwariskan sebagai alat atau media menterjemahkan konsep pemikiran dari al-Quran dan ulama.

“ Tulisan jawi menjadi media asas menghubungkan yang al-Quran dan ulama  dengan masyarakat, malah kedudukan tulisan jawi di Brunei ditempatkan begitu kukuh dan tinggi  sekali gus memperkukuhkan tulisan jawi,” katanya.

Beliau berkata dokumen pemasyhuran Kemerdekaan Negara Brunei  dahulu juga adalah dalam tulisan jawi dan rumi yang mencerminkan betapa jawi diberikan keutamaan.

Bagi memperkukuhkan tulis jawi, Brunei memperkenalkan Kurikulum Bahasa Melayu  selain ia dijaga oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei,  Jabatan adat istiadat, kementerian Ugama (JPI, KUPU SB, Pusat Dakwah, Jabatan Mufti), dan Kementerian Pendidikan.

Tulisan jawi digalakkan di semua level pendidikan dari tahun 2 dan  buku teks agama semua dalam jawi di sekolah, manakala di universiti pembentangan dalam jawi ditawarkan kursus Asas Kemahiran Jawi (KUPU SB), papan tanda premis perniagaan mesti ditulis jawi, kitab-kitab Turath diajarkan di seluruh negara, diadakan Hari Khas (Hari Jawi) setiap Khamis yang menyaksikan semua minit, teks , whatsapp mesti di tulis dalam jawi.

Beliau berkata KUPU SB turut menubuhkan Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath  bagi mengukuhkan tulisan jawi.

Sebagai usaha bekerjasama, Dr Hj. Harapandi turut menjemput academia UPSI bersama-sama menulis dalam Jurnal at-Turath (jawi moden dan lama)  selain menjayakan simposium , bengkel , dan seminar.

scroll to top