KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan.
Pelantikan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, selepas mengadakan Perbincangan Khas Raja-raja Melayu selama dua jam di Istana Negara hari ini.
“Proses seterusnya ialah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada Sabtu, 21 Ogos pukul 2.30 petang di lstana Negara,” menurut kenyataan Istana Negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri baharu itu, maka kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik COVID-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik COVID-19.
Ismail Sabri, 61, yang sebelum ini merupakan timbalan perdana menteri dilantik ke jawatan itu selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan perdana menteri pada 16 Ogos, susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan harapan agar dengan pelantikan itu dapat mengakhiri kemelut politik dengan segera dan kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati serta bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.
Ahmad Fadil berkata Seri Paduka mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik COVID-19.
“Ahli-ahli Dewan Rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.
Terdahulu Yang di-Pertuan Agong mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang bermula pada 2.30 petang bagi membincangkan isu semasa negara, khususnya berhubung pelantikan Perdana Menteri baharu.
Pada sesi Perbincangan Khas itu, Seri Paduka telah berkenan mewasalkan kepada Raja-Raja Melayu proses pencalonan bakal Perdana Menteri baharu, susulan peletakan jawatan oleh Muhyiddin. -Bernama.