PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan senarai barisan ‘Kabinet Berorientasikan Hasil’ melibatkan 31 menteri termasuk empat menteri kanan yang akan menjadi pasukan pengurusan yang bekerja bersama rakyat.
Tanpa memegang sebarang portfolio serta tidak menamakan timbalan perdana menteri, Ismail Sabri menyenaraikan kembali kebanyakan menteri penuh yang berkhidmat di bawah kepimpinan Perdana Menteri kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan 38 timbalan menteri.
Ketika mengumumkan barisan Kabinetnya di Perdana Putra di sini, Ismail Sabri berkata pembentukan Kabinet itu merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya.
“Kabinet ini perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik COVID-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik,” katanya dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan.
Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 21 Ogos.
Tiga menteri kanan di bawah pimpinan Muhyiddin dikekalkan portfolio masing-masing iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin kecuali Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang “berubah portfolio” daripada Menteri Kanan Luar Negeri kepada Menteri Pertahanan.
Dalam formulasi semula Kabinet itu, sebanyak 13 portfolio digalas oleh menteri berpengalaman menerajui kementerian yang sama pada pentadbiran terdahulu.
Mereka ialah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili; Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong serta Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun; Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi.
Dua muka baharu diperkenalkan dalam kerajaan Persekutuan iaitu bekas Menteri Besar Perak dan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan serta Naib Presiden PAS Idris Ahmad sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Adham Baba pula saling bertukar portfolio apabila Khairy kini menggalas tugas Menteri Kesihatan manakala Dr Adham sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Menteri-menteri yang bertukar portfolio daripada pentadbiran terdahulu antaranya bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa kini menerajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang sebelum ini dipegang Datuk Saifuddin Abdullah. Saifuddin dilantik mengemudi Kementerian Luar yang pernah diterajuinya ketika dalam kerajaan Pakatan Harapan.
Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum ini, diberi tanggungjawab sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), yang pernah disandang Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Takiyuddin kini dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.
‘Veteran’ yang dibawa masuk ke dalam Kabinet ialah Tan Sri Noh Omar sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Ismail Sabri berkata barisan Kabinet itu dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman dan diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.
“Saya akan pastikan Kabinet ini menekankan budaya kerja berprestasi tinggi,” katanya yang memberikan tempoh 100 hari pertama untuk setiap kementerian membuktikan pencapaian awal.-Bernama.