Kerajaan sedang muktamadkan Inisiatif Program Fasiliti Sokongan Akaun 2

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memuktamadkan Inisiatif Program Fasiliti Sokongan Akaun 2 bagi ahli yang mempunyai simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mendapatkan sumber kewangan tunai tanpa perlu membuat pengeluaran daripada simpanan mereka.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini berkata inisiatif itu akan memberi kemudahan kepada ahli KWSP menggunakan baki simpanan dalam Akaun 2 sebagai sandaran bagi mendapat pembiayaan daripada institusi perbankan.

“Inisiatif ini tidak akan membebankan rakyat kerana kadar faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) yang akan dikenakan oleh institusi perbankan yang terlibat dalam inisiatif ini dijangka antara 4.0 hingga 5.0 peratus setahun.

“Kadar ini jauh lebih rendah daripada kadar pasaran semasa pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan yang dikenakan pada sekitar 8.0 hingga 15 peratus,” katanya.

Menurut Kementerian Kewangan inisiatif itu juga tidak bercanggah dengan Seksyen 51, Akta KWSP 1991 kerana baki simpanan dalam Akaun 2 hanya digunakan sebagai sandaran melalui pengeluaran pada umur persaraan.

“Ini adalah selaras dengan objektif pelaburan KWSP sebagai sebuah dana persaraan jangka panjang untuk melindung dan menambah nilai simpanan ahli melalui pengisytiharan kadar dividen yang stabil dan mampan,” katanya.

Sementara itu, kementerian tersebut berkata kerajaan tidak akan mempertimbangkan sebarang pengeluaran tambahan baharu simpanan KWSP kerana pengeluaran khas tersebut merupakan langkah untuk membendung impak COVID-19.

“Malah, berdasarkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), kesemua negara yang telah membenarkan pencarum untuk mengeluarkan sebahagian daripada tabung persaraan mereka semasa pandemik telahpun memberhentikan fasiliti pengeluaran awal daripada tabung persaraan sejak 2021,” katanya.-BERNAMA

scroll to top