KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini merekodkan 22,242 kes baharu COVID-19, angka harian tertinggi sejak pandemik melanda negara tahun lepas.

DR NOOR HISHAM
Menerusi perkongsian data terkini jangkitan COVID-19 di laman Twitternya, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 1,466,512.
Beliau berkata Selangor terus menjadi negeri yang mencatat kes tertinggi berjumlah 6,858 diikuti Sabah (2,413), Pulau Pinang (1,867), Kedah (1,852), Kuala Lumpur (1,587) dan Johor (1,477).
Sebanyak 1,403 kes pula direkodkan di Sarawak, Kelantan (1,351), Perak (1,036), Pahang (675), Melaka (579), Negeri Sembilan (577), Terengganu (487), Perlis (50), Putrajaya (25), dan Labuan (5).
Semalam, Malaysia merekodkan 19,631 kes baharu wabak itu.
Sementara itu, Dr Noor Hisham menerusi kenyataan hari ini memaklumkan daripada 22,242 kes, 430 kes (1.9 peratus) adalah daripada kategori tiga, empat dan lima manakala baki 21,812 kes (98.1 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.
Katanya secara keseluruhan, 18,631 kes (83.8 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan tiada atau tidak lengkap vaksinasi COVID-19.
Selain itu, beliau berkata kes sembuh mencatatkan 19,680 kes, menjadikan jumlah kumulatif kini 1,198,726 kes manakala kes aktif sebanyak 254,484.
Mengenai kes kematian baharu, sebanyak 225 kematian dilaporkan melibatkan 198 warga tempatan, manakala 27 lagi warga asing dengan 35 kes kematian direkodkan di rumah atau ‘brought-in-dead’ (BID) melibatkan pecahan 27 warga tempatan dan lapan bukan warganegara.
Sementara itu, sejumlah 1,060 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 540 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.
Mengenai 49 kluster baharu yang dikenal pasti, Dr Noor Hisham berkata 30 daripadanya adalah kluster tempat kerja, 13 kluster komuniti, lima kluster kumpulan berisiko tinggi dan satu kluster pusat tahanan.
Beliau berkata nilai kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia semalam adalah 1.04 dengan kesemua negeri mencatat nilai melebihi 1.0 kecuali Labuan (0), Kuala Lumpur (0.98), Putrajaya (0.91) dan Negeri Sembilan (0.95).
Perlis mencatat nilai tertinggi iaitu 1.29, diikuti Sarawak (1.19), Sabah (1.17), Kelantan (1.16), Pulau Pinang (1.15), Kedah (1.11), Perak (1.09), Johor, Melaka dan Terengganu masing masing 1.07, Pahang (1.06) dan Selangor (1.01).-Bernama.