Kes Baharu COVID-19 Berkurangan Lebih 2,500 Kes Berbanding Hari Sebelumnya

KUALA LUMPUR: Sebanyak 22,070 kes baharu COVID-19 direkodkan hari ini , iaitu pengurangan sebanyak 2,529 kes berbanding semalam.

DR NOOR HISHAM

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 1,662,913 kes.

Menerusi perkongsian di Facebook rasminya, Dr Noor Hisham berkata Selangor kekal dengan kes tertinggi iaitu sebanyak 5,920 kes, diikuti Sabah (3,010), Sarawak (2,224), Kedah (2,072) dan Pulau Pinang (1,829).

Sementara itu, 1,809 kes direkodkan di Johor, Kuala Lumpur (1,068), Kelantan (1,051), Perak (939), Pahang (610), Melaka (589), Pahang (610), Terengganu (488), Negeri Sembilan (338), Perlis (76), Putrajaya (39) dan Labuan (lapan).

Semalam Malaysia merekodkan 24,599 kes baharu COVID-19 iaitu angka harian tertinggi sejak pandemik melanda negara tahun lepas.

Dr Noor Hisham dalam kenyataannya hari ini berkata daripada 22,070 kes baharu itu, sebanyak 412 kes atau 1.9 peratus adalah daripada kategori tiga, empat dan lima, manakala sebanyak 21,658 kes lagi terdiri daripada kategori satu dan dua.

Secara keseluruhan, 17,029 kes atau 77.2 peratus daripada jumlah kes dilaporkan itu tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Beliau berkata kes sembuh mencatatkan 21,877 kes, menjadikan kumulatif kes sembuh adalah 1,381,668 manakala kes aktif kini 265,695.

Beliau turut memaklumkan 982 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 470 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Bagi kes kematian baharu, beliau berkata 339 kematian dilaporkan melibatkan 289 warganegara dan 50 bukan warganegara dengan 99 kes adalah kematian di luar hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Mengenai 28 kluster baharu yang dikesan, Dr Noor Hisham berkata 15 daripadanya melibatkan komuniti, tempat kerja (12) dan pusat tahanan (satu).

Berdasarkan data terkini, nilai kebolehjangkitan COVID-19 atau R-Naught (Rt) Malaysia semalam adalah sebanyak 1.02 dengan negeri yang mencatatkan nilai Rt tertinggi ialah Perlis iaitu 1.23, diikuti Sarawak (1.20) dan Sabah (1.19).

Semua negeri mencatatkan nilai Rt melebihi 1.0 kecuali Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Negeri Sembilan.-Bernama.

scroll to top