Kes Baharu COVID Sedikit Menurun Ke Angka 19,257 – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR: Kes baharu positif COVID-19 hari ini sedikit menurun dengan 19,257 kes selepas dua hari berturut-turut merekodkan angka melebihi 20,000.

DR NOOR HISHAM

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan di Twitter berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes dalam negara kini mencecah 1,243,852.

Selangor kekal penyumbang utama kes dengan 7,084 kes dilaporkan, diikuti Kuala Lumpur dengan 2,450 kes, Kedah (1,514), Sabah (1,255), Johor (1,182) dan Pulau Pinang (959).

Sementara itu, Kelantan merekodkan 930 kes, Negeri Sembilan dengan 884 kes, Perak (774), Pahang (714), Sarawak (573), Terengganu (425), Melaka (414), Putrajaya (56), Perlis (41) dan Labuan (dua).

Semalam, Malaysia merekodkan 20,889 kes baharu jangkitan COVID-19, iaitu angka harian tertinggi sejak pandemik itu melanda negara pada tahun lepas manakala 20,596 kes dilaporkan hari sebelumnya.

Dr Noor Hisham menerusi kenyataannya hari ini memaklumkan daripada 19,257 kes, 740 kes (3.8 peratus) adalah daripada kategori tiga, empat dan lima manakala sebanyak 18,517 kes (96.2 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.

Beliau berkata secara keseluruhan, hanya 4,178 kes (21.7 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan mempunyai sejarah imunisasi COVID-19.

Selain itu, beliau berkata kes sembuh mencatatkan 16,323 kes, menjadikan jumlah kumulatif melepasi satu juta iaitu 1,009,343 manakala kes aktif terus mencatat trend menaik kepada 224,120 berbanding 221,396 semalam.

Mengenai kes kematian, 210 kes dilaporkan melibatkan 88 kes di Selangor, Kuala Lumpur (33), Johor (28), Kedah (17), Sabah (13), Melaka (8), Perak (6), masing-masing lima kes di Negeri Sembilan dan Kelantan, Pulau Pinang (4), serta masing-masing satu kes di Pahang, Sarawak, dan Perlis.

Daripada 210 kes kematian ini, 177 mangsa adalah warga tempatan dan 33 warga asing, jumlah ini termasuk 34 kes kematian di rumah atau ‘brought-in-dead’ (BID) melibatkan 22 mangsa warga tempatan dan 12 bukan warganegara.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan Malaysia mencatat 9,918 kes kematian COVID-19 pada tahun ini (sehingga 7 Ogos) berbanding 471 kes kematian COVID-19 pada 2020.

“Daripada jumlah kes kematian pada tahun ini sebanyak 8,615 kes kematian (86.9 peratus) merupakan kematian di hospital dan 1,303 kes kematian (13.1 peratus) BID,”menurut kenyataan.

Jelasnya, sebanyak 8,081 kes (93.8 peratus) kes kematian di hospital adalah melibatkan warga tempatan manakala bagi kes kematian BID, sebanyak 819 kes (62.9 peratus) melibatkan warga tempatan serta baki 484 kes (37.1 peratus) melibatkan bukan warganegara.

Sementara itu, sejumlah 1,097 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 575 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.

Mengenai 36 kluster baharu yang dikenal pasti, Dr Noor Hisham berkata 18 daripadanya adalah kluster tempat kerja, 15 kluster komuniti dan masing-masing satu kluster melibatkan Institusi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia, kluster keagamaan dan kluster pusat tahanan.

Beliau berkata nilai kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia semalam adalah 1.09 dengan Kelantan mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.28, diikuti Terengganu dan Sabah (1.19), serta Perak dan Pulau Pinang (1.18).-Bernama.

scroll to top