Kes Baharu Meningkat Kepada 20,837 – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR: Kes harian COVID-19 dalam negara hari ini meningkat semula ke paras 20,000 apabila sebanyak 20,837 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

DR NOOR HISHAM

Kali terakhir Malaysia mencatat kes baharu di paras 20,000 adalah pada Sabtu dengan 22,262 kes.

Menerusi perkongsian data terkini jangkitan COVID-19 di laman Facebook dan Twitter, Dr Noor Hisham berkata dengan pertambahan kes hari ini, jumlah kumulatif COVID-19 di negara kini 1,593,602.

Menurutnya Selangor masih mencatat jumlah kes paling tinggi dengan 4,645 kes, diikuti Sabah (3,376), Pulau Pinang (2,054), Kedah (1,772), Johor (1,743), Sarawak (1,543), Kelantan (1,422), Kuala Lumpur (1,284) dan Perak (1,242).

Negeri lain yang mencatat kes di bawah angka 1,000 adalah Pahang dengan 521 kes, Melaka (396), Terengganu (383), Negeri Sembilan (351), Perlis (74), Putrajaya (27) dan Labuan (empat).

Sementara itu, Dr Noor Hisham menerusi kenyataannya hari ini memaklumkan 1,063 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 511 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Beliau turut memaklumkan kes sembuh mencatatkan 18,613 kes, menjadikan kumulatif kes sembuh adalah 1,316,336, manakala kes aktif kini 262,713.

Beliau berkata daripada 20,837 kes baharu hari ini, sebanyak 358 kes atau 1.7 peratus adalah daripada kategori tiga, empat dan lima, manakala sebanyak 20,479 kes lagi terdiri daripada kategori satu dan dua.

Secara keseluruhan, 16,949 kes atau 81.3 peratus daripada jumlah kes dilaporkan itu tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Mengenai kes kematian baharu, beliau berkata 211 kematian dilaporkan melibatkan 187 warganegara dan 24 bukan warganegara dengan 40 kes merupakan kematian di luar hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Mengenai 34 kluster baharu yang dikesan, Dr Noor Hisham berkata 22 daripadanya melibatkan tempat kerja, komuniti (9), kumpulan berisiko tinggi (2) dan pusat tahanan (1).

Berdasarkan data terkini, nilai kebolehjangkitan COVID-19 atau R-Naught (Rt) Malaysia semalam adalah sebanyak 1.01 dengan negeri yang mencatatkan nilai Rt tertinggi adalah Sarawak iaitu 1.26, diikuti Perlis (1.25) dan Sabah (1.19).

Semua negeri mencatatkan nilai Rt melebihi 1.0 kecuali Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Negeri Sembilan.-Bernama.

scroll to top