KPT Lahir 23,745 Sukarelawan Bantu Mangsa Banjir

BANTU YANG TERJEJAS…Bencana banjir beri peluang warga KPT dan mahasiswa menjadi sukarelawan membantu mereka yang berkesan.

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berjaya lahirkan 23,745 sukarelawan dalam kalangan warganya yang terbabit dalam Misi Menyantuni Mangsa Banjir, baru-baru ini.

Daripada jumlah itu, 19,135 sukarekawan terdiri daripada warga universiti, politeknik dan kolej komuniti, manakala 4,610 dari KPT, agensi serta jabatan di bawahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata, seawal 19 Disember 2021, pihaknya sudah menyertai misi berkenaan apabila KPT mengaktifkan Bilik Gerakan Banjir @ KPT serta-merta.

Katanya, inisiatif itu bagi menyelaras penyaluran bantuan kepada 8,570 warganya yang terkesan termasuk 1,306 kakitangan dan 7,264 pelajar.

“Semua institusi pengajian tinggi (IPT) diminta untuk membuka Bilik Gerakan Banjir bagi memudahkan penyaluran segera bantuan khususnya makanan dan keperluan asas lain kepada pelajar dan kakitangan IPT masing-masing.

“Selain itu, Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia (MASKUM) turut digerakkan bagi menyediakan sukarelawan dalam kalangan warga IPT bagi sama-sama menghulurkan tenaga melaksanakan kerja pembersihan di negeri yang terjejas,” katanya.

Sembilan IPT dibuka untuk menjadi Pusat Penempatan Sementara (PPS) bagi menempatkan 1,320 mangsa banjir iaitu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Politeknik Mersing dan Kolej Komuniti Temerloh.

Operasi Bantuan Banjir KPT membabitkan enam negeri, iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka,Kelantan, Pahang dan Johor dengan lebih daripada 20 buah daerah, termasuk dua daerah angkat iaitu Kuala Langat di Selangor dan Temerloh di Pahang.

Selain pembersihan membabitkan 187 rumah, empat sekolah dan 19 kemudahan awam, bantuan dan perkhidmatan lain turut diberikan termasuk enam klinik bergerak, dua klinik veterinar, sumbangan 39,775 kotak sumbangan serta RM3,334,000 nilai sumbangan.

Mohammad Shatar berkata, bencana banjir yang melanda negara sejak pertengahan Disember 2021 lalu menuntut sikap cakna dan prihatin daripada seluruh rakyat Malaysia untuk bersoladiriti umpama sebuah keluarga besar selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang berteraskan tiga prinsip, iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

Selain itu, katanya, pembabitan sukarelawan terutama dalam kalangan mahasiswa secara tidak langsung mampu meningkatkan kebolehpasaran pelajar apabila mereka bergelar graduan.

“Misi yang dicetuskan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ini dapat melatih warga IPT untuk mempunyai ciri kesukarelawanan dan untuk pelajar, elemen ini menjadi satu daripada kriteria diidamkan majikan untuk merekrut pekerja.

“Menteri sendiri berjaya menjadi teladan apabila bersama-sama warga IPT untuk menyantuni mangsa banjir, selain turut menyertai kerja pembersihan di hampir semua negeri yang terjejas,” katanya.

scroll to top