KWSP tiada cadangan benarkan lagi pengeluaran awal

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) buat masa ini tidak bercadang untuk membenarkan lagi pengeluaran oleh ahlinya selepas tiga skim yang diperkenalkan sebelum ini, tegas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, tumpuan pengurus dana persaraan itu kini adalah membina semula simpanan hari tua ahli dan itu adalah mandat yang diterimanya.

Katanya, tiga skim yang diperkenalkan sebelum ini iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dilaksanakan tepat pada masanya dalam membantu ahli berdepan cabaran dicetuskan pandemik COVID-19.

Jelasnya, KWSP adalah dana persaraan yang diberi mandat bagi melindungi simpanan ahli untuk keperluan dan kesejahteraan masa depan persaraan mereka.

“Kita faham bila terima desakan, tetapi kena ingat mandat KWSP yang diberi mengikut Akta KWSP 1991 untuk menolong ahli mencapai simpanan hari tua yang cukup. Bantuan yang dibuat (i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra) adalah tepat pada masanya dan masa itu sudah habis.

“Lagipun, kita sudah nampak negara sudah masuk dalam pemulihan. Perangkaan pekerjaan dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan negara dalam pemulihan.

“Saya harap kita tidak payah keluar lagi. KWSP akan terus dengan mandat untuk membina simpanan hari tua,” katanya laporan Berita Harian pada sidang media pada taklimat prestasi kewangan KWSP 2021 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada KWSP mempertimbangkan untuk membenarkan pengeluaran selanjutnya bagi membantu ahli yang terkesan impak pandemik.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, KWSP menyokong ahlinya dalam menghadapi cabaran dicetuskan pandemik COVID-19 dengan sebanyak RM110 bilion dikeluarkan membabitkan 7.3 ahli di bawah tiga skim pengeluaran itu.

Beliau berkata, pengeluaran menerusi i-Lestari yang dijalankan dari April 2020 hingga Mac 2021 membabitkan RM20.8 bilion; i-Sinar yang dijalankan Januari-Disember 2021 membabitkan pengeluaran RM58.7 bilion dan i-Citra yang berlangsung dari Julai 2021 hingga Februari 2022 membabitkan RM21.4 bilion.

Semalam, Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat mencadangkan kerajaan memperkenalkan bantuan kewangan ‘i-Ceria’ KWSP, iaitu kemudahan pengeluaran wang buat kali terakhir.

Beliau berkata, hal itu berikutan terdapat keperluan mendesak bagi sebilangan rakyat Malaysia menggunakan wang persaraan mereka itu bagi tujuan meneruskan kelangsungan hidup.

KWSP sebelum ini menyifatkan skim pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar pada 2020, diikuti oleh i-Citra pada Julai 2021, adalah bersifat luar biasa kerana inisiatif itu diperkenalkan semata-mata untuk memenuhi keperluan aliran tunai yang mendesak semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi.

scroll to top