TANJUNG MALIM: Seramai 134 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berasal dari negeri Sabah menerima bantuan bakul makanan dan ‘hygiene kit’ berikutan mereka tidak dapat pulang ke kampung halaman pada cuti semester yang sedang berlangsung.
Bantuan yang disampaikan di Dewan Sri Tanjung, Kampus Sultan Abdul Jalil itu adalah inisiatif dan kerjasama antara Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dengan Koperasi Tanjong Keramat Malaysia Berhad dan Mercy Malaysia.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Arthur Joseph Kurup yang hadir menyampaikan bantuan bakul makanan itu berharap ia dapat membantu meringankan beban pelajar-pelajar dari negeri Sabah yang terpaksa tinggal di kampus dan tidak dapat pulang bersempena cuti semester kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di fasa Pelan Pemulihan Negara fasa 1 dan 2.
“Selain itu juga, bantuan yang diberikan ini juga akan dapat mengurangkan pergerakan pelajar untuk keluar bagi mendapatkan barangan keperluan harian,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Majlis Pengetua Kolej Kediaman UPSI , Prof Madya Dr Mohd Nizam Nasrifan berkata UPSI mengucapkan terima kasih atas keprihatinan itu yang sedikit-sebanyak dapat meringankan bebanan mahasiswa.
Hadir sama Penasihat Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS), Mohd Fadhil Abdullah.