Malam Puisi Getaran Jiwa Angkat Kesenimanan P.Ramlee

DATO' DR NOOR ZARI HAMAT

KUALA LUMPUR: Malam Puisi Getaran Jiwa P. Ramlee anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) pada 25 Julai depan bakal mengangkat tahap kesenimanan Tan Sri P. Ramlee sebagai pemuisi legenda negara melalui dialog dalam filem dan bait lirik yang digarap dalam lagu ciptaannya.

Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim berkata walaupun bukan semua lirik lebih 400 lagu yang dicipta dan dinyanyikannya ditulis oleh beliau, kesemua lagu itu mengangkat lirik-lirik berkenaan ke tahap yang lebih tinggi sehingga mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.

“Kita boleh katakan bahawa P. Ramlee adalah tokoh yang memulakan tradisi penciptaan lagu puisi hasil karya penulis lirik terkenal seperti Dato’ Jamil Sulong, H.M. Rohaizad, S. Sudarmaji dan Ainol Jamal.

DR RADZUAN IBRAHIM

Malah lagu pertama ciptaannya, Azizah yang lirik asal adalah tulisannya sendiri mengandungi bait kata-kata yang sungguh puitis walaupun hanya memuji seorang wanita,” katanya.

Radzuan berkata Malam Puisi Getaran Jiwa P. Ramlee ini diharap akan menjadi jenama baru PEMUISI dan dijayakan setiap tahun selepas ini.

Ia bagi menyebarluaskan hasil seni dan karya P. Ramlee agar terus dinikmati sebagai aset dan khazanah negara yang bernilai tinggi, ujarnya.

Katanya acara itu turut dijayakan oleh Penaung PEMUISI Tan Sri Hamad Kama Piah Che’ Othman, Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Hj Salleh, Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah Hassan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Datuk Sri Prof Dr. Awang Sariyan, Naib Canselor ke-8 Universiti Malaya Prof Emeritus Dato’ Dr. Hashim Yaacob, Presiden FDAM Dr. Ahmad Ibrahim dan cucu seniman agung itu, Najua P. Ramlee.

Ia akan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook DBP, PEMUISI BERKARYA dan FDAM mulai pukul 9.00 malam dan dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Dr. Noor Zari Hamat.

scroll to top