KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan 20,889 kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini, iaitu angka harian tertinggi sejak pandemik itu melanda negara pada tahun lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Menerusi perkongsian data terkini jangkitan COVID-19 di Twitternya, beliau berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini mencecah 1,224,595.
Beliau berkata Selangor kekal penyumbang utama kes dengan 8,792 kes dilaporkan, diikuti Kuala Lumpur dengan 2,483 kes, Kedah (1,371), Sabah (1,291), Johor (1,275) dan Negeri Sembilan (986).
Sementara itu, Kelantan melaporkan 938 kes, Pulau Pinang dengan 776 kes, Sarawak (652), Perak (624), Pahang (610), Melaka (491), Terengganu (460), Putrajaya (122), Labuan (9) dan Perlis (9).
Semalam, Malaysia merekodkan sebanyak 20,596 kes baharu wabak itu.
Sementara itu, Dr Noor Hisham menerusi kenyataannya hari ini memaklumkan daripada 20,889 kes baharu, 273 kes (1.3 peratus) adalah daripada kategori tiga, empat dan lima manakala sebanyak 20,616 kes (98.7 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.
Beliau berkata secara keseluruhan, hanya 4,292 kes (20.5 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan mempunyai sejarah imunisasi COVID-19.
Mengenai kes kematian,160 kes dilaporkan dengan antaranya melibatkan 51 kes di Selangor, 32 kes di Johor, Kedah (22), Kuala Lumpur (17) dan Negeri Sembilan (14).
Sejumlah 1,096 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 545 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.
Selain itu, beliau berkata kes sembuh mencatatkan 16,394 kes, menjadikan jumlah kumulatifnya 993,020, manakala kes aktif kini 221,396.
Mengenai 34 kluster baharu yang dikenal pasti, Dr Noor Hisham berkata 19 daripadanya adalah kluster tempat kerja,12 kluster komuniti serta tiga kluster yang berkaitan kumpulan berisiko tinggi.
Beliau berkata nilai kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia semalam adalah 1.08 dengan Kelantan mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.29, diikuti Perak (1.23) dan Pulau Pinang (1.21).
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham juga Kuala Lumpur mencatatkan kadar insiden tertinggi untuk purata kes tujuh hari (dari 31 Julai hingga 6 Ogos) bagi setiap 100,000 ribu penduduk iaitu 105.7, diikuti Selangor dengan 101.5, Putrajaya (75.6), Negeri Sembilan (71.7), Melaka (53.8) dan Kedah (51.8).
“Peningkatan kes harian yang kian meningkat ini menunjukkan bahawa jangkitan virus COVID-19 sudah menular dalam komuniti.
Peningkatan kes juga dipercayai disumbang oleh penularan varian Delta. Sehingga kini, sebanyak 199 kes varian Delta telah dikesan dalam komuniti. Varian ini menyebabkan kadar jangkitan virus yang lebih cepat, agresif, dan kurang menunjukkan respons terhadap rawatan yang diberikan,” menurut kenyataan itu. -Bernama.