Naib Canselor Saran Alumni FSSK Menyumbang Kepada Universiti

CERAMAH DALAM TALIAN… Prof Datuk Dr Md Amin (atas kiri) menyampaikan ceramah secara dalam talian.

TANJUNG MALIM: Alumni program Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diharapkan dapat menyasarkan sumbangan RM1 juta untuk membantu meningkatkan kemudahan di  Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK).

Cadangan itu disampaikan oleh Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md. Amin Md Taff ketika menyampaikan ceramah Grand Alumni Homecoming “Anak Kandung Terbang Tinggi”  (Menelusuri 20 Tahun  Alumni Anak Kandung Suluh Budiman) anjuran FSSK dengan kerjasama Alumni Program Sains Sukan dan Kejurulatihan serta Pusat Alumni UPSI.

Sumbangan secara pemotongan gaji itu, katanya,  diharapkan dapat membantu  memperlengkapkan pembangunan fasiliti di Fakulti Sains Sukan dan  Kejurulatihan (FSSK).

Selain sumbangan kepakaran alumni sains sukan kepada masyarakat dan upsi

Majlis yang diadakan secara dalam talian itu disertai oleh 275 alumni dan kakitangan FSSK yang membicarakan perjalanan akademik, sebagai aktivis sukan dan kejayaan memegang jawatan tertinggi UPSI selain menyampaikan harapan kepada alumni untuk kembali menyumbang kepada Ibu Kandung Suluh Budiman sebagai tanda mengenang budi.

Prof Md Amin berharap semua mahasiswa memiliki sifat menghormati  insan yang pernah mendidik mereka sama ada di sekolah mahupun universiti.

Justeru, katanya, usah lupa jasa pensyarah tempat menuntut ilmu sehingga berjaya, malah perlu berbakti dengan menyumbang dan menyokong usaha memajukan universiti.

Selain itu, katanya, jangan lupa jasa dan pengorbanan keluarga yang tersayang yang mendidik dan berkorban untuk alumni sehingga berjaya membina kerjaya dan keluarga sendiri.

Beliau menasihati alumni agar tidak melupai sahabat-sahabat yang pernah susah senang bersama  ketika belajar dahulu di universiti yang  tersohor itu.

“Saya juga berharap semua alumni tidak lupa diri apabila memiliki jawatan besar sebaliknya kembali menyumbang kepada universiti sebagai tanda ingatan dan kasihkan Ibu Kandung Suluh Budiman,” katanya.

Prof Datuk Md Amin yang menjawat jawatan Naib Canselor Jun lalu adalah pelajar kohot pertama  program Sains Sukan apabila UPSI ditubuhkan pada 1997.

Beliau melanjutkan pengajian ijazah pertama pada tahun 1998 sehingga  2000  dan sehingga kini sudah 43 kohot.

“Saya berharap semoga UPSI terus cemerlang dan sumbangan alumni ini dapat memanfaatkan mahasiswa yang sedang bertungkus-lumus mengikuti pengajian mereka,” katanya.

Hadir sama Dekan FSSK, Prof Madya Dr Abdul Rahim Mohd Shariff dan penyelaras program merangkap Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dr Siti Hartini  Azmi.

scroll to top