TANJUNG MALIM: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menganjurkan program empowerNCER-Akademik@Perak (Orang Asli) bagi meningkatkan pencapaian akademik anak-anak orang Asli.
Program itu yang bertujuan memfokuskan pembangunan akademik dan modal insan golongan ini di sasaran lokasi sekitar pedalaman negeri Perak yang memiliki taburan penempatan Orang Asli terbesar di negeri itu.
Ketua Bahagian Pembangunan Modal Insan NCIA, Datin Shahdee Datuk Ahmad, berkata program empowerNCER-Akademik@Perak (Orang Asli) dilaksanakan bagi meningkatkan pencapaian akademik dan peratus kehadiran pelajar anak-anak Orang Asli ke sekolah menerusi kaedah pengajaran tambahan berkesan mengikut modul yang disediakan.
Beliau berkata modul-modul berkenaan dibangunkan sekumpulan penyelidik, pensyarah dan pakar pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang merangkumi aspek asas pembelajaran Menulis, Membaca dan Mengira (3M).
Katanya, Modul berkenaan membabitkan Modul Pembelajaran Asas Membaca, Modul Pembelajaran Asas Menulis, Modul Asas Mengira selain empat modul pengayaan diri iaitu Modul Pengayaan Transformasi Kendiri, Modul Kemahiran Asas-asas Lakaran Seni Visual, Modul Eksplorasi Dunia Emosi dan Kerjaya serta Modul Penerokaan Konsep Kimia dalam aktiviti STEM yang dapat memperkasakan potensi minat murid-murid terhadap bidang seni, motivasi juga Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pendekatan Didik Hibur yang merujuk kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

BERBAKAT….Murid orang asli berbakat membuat persembahan dalam majlis itu.
Beliau berkata Program empowerNCER-Akademik@Perak (Orang Asli) fasa pertama dilaksanakan di kawasan penempatan Orang Asli sekitar daerah Batang Padang, Kuala Kangsar dan Hulu Perak yang membabitkan murid Tahun Lima dari Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 7 dan SK Batu 14, Batang Padang, SK Pos Legap dan SK Pos Perwor, Kuala Kangsar serta SK RPS Kemar (Hulu Perak).
Program bermula Jun hingga Disember 2020 itu memanfaatkan seramai 300 pelajar pelbagai latar belakang suku Orang Asli antaranya Murut, Semai dan Temiar.
Program selama 150 jam itu, katanya, meliputi akademik dan pengayaan diri pada luar waktu persekolahan yang menyaksikan peningkatan sebanyak 12% murid buta huruf boleh membaca, 25% peningkatan boleh menulis dan 11% peningkatan boleh mengira.
“Modul Pengayaan Diri Ibubapa pula menyentuh aspek peranan, amalan dan penilaian kendiri agar memberi pendedahan kepentingan pelajaran kepada anak-anak serta mendidik mereka untuk lebih percaya diri dan mengenal potensi diri.
Menurut Shahdee Modul Xedugogy turut dilaksanakan khusus untuk semua guru sekolah terlibat dengan pendedahan kepada amalan Pedagogi Abad ke 21 yang terkini.
“Tahun ini, program empowerNCER-Akademik bermula bulan Mac menyasarkan 900 pelajar anak Orang Asli dari 21 buah sekolah, namun sesi bersama pelajar belum bermula berikutan penutupan sekolah yang disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Beliau berkata pada masa yang sama, Projek Pembangunan Orang Asli di Lata Kinjang sedang dilaksanakan sebagai projek perintis pembangunan Orang Asli dalam komuniti yang bertujuan membasmi kemiskinan secara mampan yang membabitkan empat buah kampung di Lata Kinjang.
Projek berkenaan membabitkan pelaksanaan program empowerNCER-Latihan Kemahiran & Keusahawanan bagi membolehkan 143 belia menjana pendapatan, dan 62 pelajar mengikuti program empowerNCER-Akademik.
Sementara itu Ketua Projek yang juga Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI, Prof Madya Dr Norkhalid Salimin melahirkan terima kasih kepada NCIA yang bekerjasama dengan kepakaran universiti berkenaan dalam menjayakan program berkenaan.
“Kami membantu NCIA melaksanakan program empowerNCER-Akademik dan membina modul yang berkesan untuk melaksanakan program yang memberi fokus terhadap kemajuan hidup komuniti orang Asli,” katanya.