Pelajar SMKBB2020 Terima Peranti Tablet

PERANTI TABLET…Prof Madya Dr Norkhalid (dua dari kanan) menyampaikan tablet kepada ibu pelajar SMKBB2020 sambil disaksikan Azshar (dua dari kiri) , Dr. Ghazali (kiri) dan Prof Madya Dr Mohd Izwan (kanan).

TANJUNG MALIM: Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Behrang 2020 (SMKBB2020) menerima 73 unit peranti tablet di bawah program empowerNCER-Akademik@Perak untuk membantu pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 sekolah berkenaan dalam menjayakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR).

Penyerahan peranti tablet kepada ibu bapa para pelajar peserta program ini disempurnakan oleh Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr. Norkhalid Salimin yang juga Ketua Projek bagi Program empowerNCER-Akademik@Perak pagi kelmarin.

“UPSI dilantik oleh NCIA sebagai Pembekal Perkhidmatan bagi Program empowerNCER-Akademik@Perak kepada 22 buah sekolah di tujuh daerah di negeri Perak melibatkan 1,400 murid SPM dan 110 guru akademik.

“Sebanyak 1,510 buah peranti tablet dibekalkan ke sekolah bagi membantu memajukan prestasi akademik pelajar-pelajar B40 yang terlibat, “ katanya.

Beliau berkata program tuisyen secara dalam talian telah dilaksanakan setiap hari di semua sekolah terlibat mulai 5 Julai yang lepas oleh Guru Bitara UPSI.

Manakala pada setiap hari Sabtu jam 9 malam pula diadakan sidang langsung melalui saluran YouTube Live oleh Ikon Alumni UPSI iaitu penulis modul bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

Aktiviti ini akan dijalankan secara berterusan sehingga pelajar-pelajar menduduki SPM pada bulan Mac 2022 nanti.

Sesi penyampaian secara ringkas yang diadakan pada 28 Julai 2021 turut disaksikan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKBB2020, Dr Ghazali Din.

Sementara itu Pengetua SMKBB2020, Azshar Ramli berkata, pihaknya menghargai dan berterima kasih atas pemberian tablet di bawah program empowerNCER-Akademik@Perak dalam membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar sekolah berkenaan.

Ia akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar yang serba kekurangan dari aspek kemudahan komputer untuk kegunaan PdPR.

“Pencapaian akademik pelajar sekolah ini sudah terdapat peningkatan, namun dengan inisiatif NCIA dan UPSI diyakini akan meningkatkan lagi prestasi pelajar,” katanya.

Di sekolah itu, menurutnya lagi, terdapat ramai pelajar dari latar belakang serba kekurangan dan tidak mampu membeli peranti untuk anak-anak.

“Justeru, pemberian tablet di bawah program empowerNCER-Akademik@Perak ini sangat kami hargai untuk sekolah membantu meningkatkan pencapaian akademik mereka,” katanya.

Beliau mengucapkan jutaan terima kasih atas keprihatinan pihak NCIA dan UPSI untuk membantu pelajar-pelajar yang memerlukan kemudahan peranti tablet.

Program empowerNCER-Akademik@Perak yang memasuki Fasa Kedua ini direka secara komprehensif untuk meningkatkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan menekankan komponen kecemerlangan akademik, kecekapan kemahiran dan pengembangan peribadi pelajar.

Seramai 450 pelajar SPM telah menyertai Program empowerNCER-Akademik@Perak Fasa Pertama yang menyaksikan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tapah, Batang Padang, Cheah Yong Ning berjaya memperoleh 10A manakala Alieya Ashikin A/P Haszrul Zainal, pelajar dari komuniti Orang Asli dari sekolah yang sama, berjaya memperoleh 4A dalam peperiksaan SPM pada tahun 2020.

Program yang mendapat sokongan penuh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia ini berjaya membantu pelajar daripada keluarga B40 meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM yang lepas.

scroll to top