Pelancaran Logo Sambutan 100 Tahun SITC-MPSI-IPSI-UPSI 

LANCAR LOGO…UPSI lancar logo sambutan 100 tahun

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memiliki sejarah yang panjang berikutan penubuhannya berkesinambungan dari zaman Sultan Idris Training College (SITC) pada tahun 29 November 1922, Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) seterusnya dinaiktarafkan kepada UPSI pada tahun 1997. Pada 29 November 2022, maka genaplah 100 Tahun.

Pada 29 November 2021 akan berlangsung majlis pelancaran sambutan sempena 100 Tahun yang merentasi empat era iaitu  SITC-MPSI-IPSI dan UPSI yang menandakan bermulanya pelaksanaan pelbagai program sempena sambutan 100 Tahun.

Nama SITC mengambil sempena nama DYMM Sultan Idris Mursyidul’ adzam  Shah  yang memerintah negeri Perak selam 30 tahun.

Bagi mengenang jasa-jasa besar Baginda dalam memajukan bangsa Melayu dalam bidang pendidikan, maka nama maktab perguruan yang dibuka pada 29 November 1922 di Tanjong Malim dinamakan Sultan Idris Training College atau SITC.

SITC dirasmikan oleh  Ketua Setiausaha Kerajaan, Negeri-negeri Melayu Bersekutu,   Sir W, George Maxwell.

Zaman SITC, ramai tokoh-tokoh pemimpin, negarawan, pendidik, pejuang bahasa dan pengarang kreatif yang membakar semangat nasionalisme dilahirkan.

Nama-nama seperti Tun Abdul Ghafar Baba, Senu Ibrahim, Tun Abdul Rahman Abbas, Pendeta Za’ba, Muhammad Yassin Maamor (Pungguk), Ahmad Bakhtiar, Buyong Adil ramai lagi.

Alumni SITC dari Singapura antaranya Sidek Sanif (Mantan Menteri Negara Kanan), Suratman Markasan, Mohd Ariff Ahmad serta  Datuk Paduka Haji Ahmad Kadi dari Brunei.

Zaman SITC/MPSI, menyaksikan ramai pelatihnya berhasil menjadi pengarang kreatif yang terkenal, antarannya Ibrahim Yaakub, Harun Aminurrashid, Prof Emeritus Dr Awang Had Salleh, Datuk Ismail Abbas (Amil Jaya), Shaharom Husain, Tubagus Abdullah ( Anas K. Hadimaja), A Wahab Ali, Dr. Kamaruzzaman Abd Kadir (Dharmawijaya), Hassan Ali (Hasbima), Kasmani Hj Ariff, Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), Datuk Dr. Hashim Awang, Md Wahi Long (Pancaran Wau), Mokhtar Yassin, Othman Puteh, Ramli Isin, Datuk Rahman Shaari, Ali Majod, Suhaimi Hj Muhammad, Nazel Hashim Mohamad, Sohaimi Aziz,   Naafi Mat, Nassury Ibrahim  dan ramai lagi.

Tahun 1997, bermula era UPSI apabila era IPSI  dinaiktaraf kepada sebuah universiti. Bemula dengan Naib Canselor pertama, Datuk Dr Ashari Che Mat, Prof Emeritus Dato’ Wira Ir. Dr Mohammad Nor Salleh,  Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim, Prof Dato’  Dr Zakaria Kasa, Prof Emeritus Dato’ Dr Aminah Ayob, Prof Dato’ Dr Mohammad Shatar Sabran dan sejak Jun lalu dipimpin oleh Prof Dato’ Dr Md Amin Md Taff.

Semangat mendalam terhadap Ibu Kandung Suluh Budiman mendorong kepada penubuhan Persatuan Alumni Suluh Budiman yang dipimpin presidennya, Datuk Seri Ahmad Burak (alumni zaman MPSI).

Sempena sambutan 100 Tahun, UPSI merancang melaksanakan pelbagai program sambutan membabitkan kluster dalam penganjuran program sejarah, teknologi pendidikan, kebudayaan, kerohanian, kepimpinan, penerbitan, penyelidikan dan inovasi, rekreasi, keusahawanan, pengantarabangsaan, komuniti, serta alumni yang dijayakan semua peringkat pusat tanggungjawab yang ada di UPSI.

Walaupun berlakunya kekangan pandemik COVID-19 yang menyebabkan pihak kerajaan menguatkuasakan beberapa kaedah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun sambutan akan diadakan secara dalam dalam talian.

Insya-Allah, sekiranya peraturan kawalan pergerakan dilonggarkan dan dibenarkan, maka UPSI akan melaksanakannya secara fizikal bagi memeriahkan sambutan.

UPSI sendiri sudah melahirkan lebih 200,000 graduan sejak ditubuhkan pada tahun 1997 menabur jasa untuk negara. UPSI memiliki dua kampus iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) seluas 85 ekar yang memiliki bangunan-bangunan warisan yang dibina pada zaman SITC iaitu Bangunan Suluh Budiman (binaan pada tahun 1920-an), Rumah Pengetua, Tadahan Utara, Tadahan Selatan, Rumah Tamu, Dewan Makan serta Sekolah Latihan SITC.

UPSI juga memiliki sebuah kampus baharu di Proton City iaitu Kampus Sultan Azlan Shah ( KSAS) yang berkeluasan 850 ekar berlatarbelakangkan Banjaran Titiwangsa yang sangat indah dan mendamaikan.

Selain itu UPSI juga akan menzahirkan tagline atau slogan baharu iaitu “DEMI UPSI” agar seluruh warga UPSI bersatu hati melonjakkan nama UPSI dalam pelbagai bidang menerusi semangat kerja di bawah iltizam “DEMI UPSI”.

UPSI sebuah universiti yang melahirkan pendidik yang berbakti di seluruh negara demi kemajuan dunia pendidikan negara. Peranan UPSI sangat besar dalam membentuk modal insan anak bangsa pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa.

Sempena sambutan, logo rasmi 100 tahun dicipta dan akan dipaparkan pada semua latar belakang program sama ada fizikal atau digital, face bookUPSI, video, dan semua aktiviti sama ada di fakulti,  kolej kediaman,  serta persatuan.

Tentang deskripsi logo, logo UPSI berwarna keemasan yang diletakkan di dalam angka 100 menunjukkan bahawa legasi  SITC menjulang kegemilangan sehingga era UPSI   selama 100 tahun untuk membina kemasyuhuran.

Bangunan Suluh Budiman yang bersejarah diletakkan dalam lingkaran emas. Bangunan ini kekal utuh sejak era SITC sehingga kini. Bangunan Suluh Budiman ini telah digazetkan di bawah akta Warisan Kebangsaan 2005 sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan pada 14 Februari 2009.

Garis lengkung yang merentasi logo 100 tahun menunjukkan gelombang peredaran era kegemilangan UPSI bermula  dengan SITC, MPSI, IPSI sehingga kepada zaman UPSI.

Warna emas pada logo ini melambangkan kejayaan, kegemilangan dan kekayaan ilmu pengetahuan; dan warna emas gelap menggambarkan kekuatan tenaga kerja yang mantap, berevolusi, berkeyakinan dan berdaya saing.

UPSI akan menghasilkan pelbagai bentuk cenderamata yang terpapar logo sambutan 100 Tahun untuk dibeli dan dimiliki oleh warga UPSI, alumni (SITC-MPSI-IPSI-UPSI) serta masyarakat yang ingin memilikinya sebagai koleksi peribadi.

Justeru, sebagai inisiatif menyemarakkan semangat sambutan, Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Dr Noraini Ahmad diberi penghormatan melancarkan logo sambutan 100 Tahun menerusi slot Selamat Pagi Malaysia (SPM) RTM 1 pada hari ini.

Majlis Kemuncak Sambutan 100 Tahun akan diadakan  pada 29 November 2022 sebagai tanda sambutan melabuhkan tirai.

scroll to top