Pemain Digital Pilihan Remaja Hari Ini

FOKUS ... Prof Madya Dr. –Ing. Maizatul Hayati Mohamad Yatim.

TANJONG MALIM: Pandemik COVID-19 yang melanda negara memberi kesan kepada kehidupan kalangan remaja sehingga mereka beralih kepada permainan digital yang dianggap sebagai hiburan pilihan berikutan tempoh terkurung di rumah begitu lama.

Prof Madya Dr. Maizatul Hayati Mohamad Yatim dari Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata kini berlaku peningkatan jumlah pemain permainan digital dan kadar masa peruntukan yang digunakan remaja untuk bermain permainan digital semasa pandemik COVID-19 bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.

Beliau  yang juga penyelidik permainan digital berkata berdasarkan personaliti, tingkah laku, sikap dan pilihan generasi (Gen) Y, Z dan Alfa kini, ia dipengaruhi dengan percambahan teknologi yang disesuaikan dengan peredaran masa.

Menurut beliau Gen X kini rata-ratanya terdiri daripada  golongan ibu bapa yang  majoritinya turut memberi galakkan serta dorongan kepada anak-anak mereka dalam memberi kebebasan memilih minat dan cara mengisi masa lapang.

Justeru, katanya, ibu bapa harus mempertimbangkan had masa bermain permainan digital dalam kalangan anak-anak mereka dan membantu anak-anak mereka bagaimana memupuk kemahiran pengurusan masa dan peraturan diri.

“Namun, masih ada ibu bapa yang bimbang dengan perkembangan mendadak dalam bidang permainan digital sepertimana ketika televisyen diperkenalkan pada era 60-an yang turut memberi kesan sosial ketika itu sehingga ada yang menggelar teknologi televisyen sebagai ‘the white devil’.

Kini katanya, kita tidak dapat menafikan kewujudan lebih banyak teknologi yang digunakan terutamanya teknologi yang melibatkan perisian aplikasi dan media sosial yang menampilkan kegilaan generasi kini.

Beliau berkata Gen Alfa kini menggunakan media sosial berbeza daripada ibu bapa mereka seperti kecenderungan kepada TikTok dan Instagram berbanding media sosial pilihan ibu bapa mereka iaitu Facebook dan Twitter.

“Selama ini, remaja mempunyai pelbagai pilihan genre permainan digital untuk bermain yang rata-rata dibeli atau dimuatturun secara percuma atau berbayar melalui platform permainan atas talian seperti Steam hingga sukar dihalang kemasukan kandungan yang dikawal oleh pihak luar.

Menurut beliau peminat tegar permainan digital kini lebih banyak menggunakan Discord sebagai platform komuniti dalam membincangkan strategi, petua dan muslihat dalam permainan digital keranan permainan itu  menyediakan maklumat statistik yang membabitkan data analitik pemain permainan digital (gamers) profesional mahupun amatur.

Beliau berkata peningkatan kemudahan teknologi komputeran dan penerimaan golongan generasi muda terhadap permainan digital menyebabkan industri permainan digital berkembang secara drastik.

Beliau yang komited berkolaborasi bersama rakan penyelidik Prof. Madya Ts. Dr. Tan Wee Hoe  mengambil inisiatif menghimpunkan penghasilan program akademik, penyelidikan, penerbitan dan perundingan dalam bidang permainan digital.

“Melalui Kumpulan Berkepentingan Khas (Special Interest Group @ SIG) yang dikenali sebagai Serious Games Think Tank (SGT) UPSI, ahli kumpulan SGT ini telah menjalinkan jaringan industri dalam dan luar negara yang membabitkan pakar dalam permainan digital,” katanya.

Maizatul adalah pensyarah wanita pertama UPSI yang menjadi perintis dalam memperkenalkan pendidikan permainan digital secara formal melalui penghasilan program pengajian permainan digital di Malaysia.

UPSI satu-satunya universiti yang menawarkan program pengajian permainan digital dari peringkat diploma sehingga ke peringkat pasca siswazah.

scroll to top